Anda di sini

Eksesais ‘Pacific Reach 2016’ tingkat keupayaan menyelamat kru kapal selam

Advertisement
 Abdul Rahman (kiri) bersama Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar Yahya (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Target Mega Marine Sdn Bhd Laksamana Muda (bersara) Datuk Mohammad Rosland Omar (kanan).

SEGAK: Abdul Rahman (kiri) bersama Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar Yahya (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Target Mega Marine Sdn Bhd Laksamana Muda (bersara) Datuk Mohammad Rosland Omar (kanan).

KOTA KINABALU: Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memastikan misi mempertahankan kedaulatan perairan negara terus diperkasakan melalui eksesais multinasional Eksesais ‘Pacific Reach 2016 (PR16)’ yang diadakan di Jinhae, Korea Selatan.

Eksesais yang berlangsung dari 23 Mei sehingga 3 Jun terbabit adalah penglibatan eksesais berskala besar yang pertama kali dijalankan membabitkan negara yang mengoperasikan kapal selam di rantau ini.

Dengan bantuan teknologi yang diyakini daripada negara luar termasuk Amerika Syarikat, Korea, Jepun Indonesia dan beberapa negara lain, pasukan Malaysia mampu  mempelajari teknologi dan konsep menyelamat terkini yang digunakan oleh negara luar terbabit.

Panglima Angkatan Kapal Selam Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, TLDM melakar sejarah tersendiri dengan penglibatan seramai 45 kru kapal MB termasuk pasukan marin dan penyelamat serta 12 anggota TLDM yang selesai menjalankan eksesais multinasional itu.

“Kapal penyelamat kapal selam MV Mega Bakti (MB) yang digunakan semasa eksesais dijalankan mempunyai keupayaan tinggi melakukan tugas menyelamat kapal selam yang terkandas sehingga kedalaman 600 meter.

“Teknologi canggih membolehkan Malaysia khususnya TLDM mampu bergerak seiringan dengan negara yang mengoperasikan kapal selam di rantau Asia Fasifik melakukan tugas menyelamat yang lebih kompleks,” katanya.

Beliau berkata, kelebihan ini turut menambah keyakinan kru kapal selam dalam menjalankan tugas mencari dan menyelamat di lautan tanpa dikekang perasaan ragu-ragu.

Bagi Kapten Kapal MV MB Kapten Mahadzir Jafar berkata, sepanjang eksesais dijalankan kapal terbabit berjaya menyertai latihan bersama kapal selam penyelamat lain walaupun berhadapan dengan perbezaan teknologi.

“Kita mendapat satu pengalaman berharga daripada rakan tentera laut daripada negara lain yang mengongsikan pelbagai peralatan berbeza dan apa yang lebih penting kru kapal kita dapat merasai sendiri bagaimana untuk mengendalikan peralatan terbabit.

“Sepanjang eksesais dijalankan, MB berjaya melakukan operasi pemindahan kru kapal selam yang disimulasikan sebagai terkandas bersama dua kapal selam negara luar iaitu kapal selam milik Australia dan Republik Korea yang dijalankan pada 30 dan 31 Mei lalu.

“Penglibatan dalam eksesais berskala besar ini menguji keupayaan dan kebolehan sebenar kapal selam MB dalam melaksanakan tugasan menyelamat yang lebih kompleks dan realistik,” katanya.

Sementara itu, bagi satu-satunya peserta wanita yang menyertai pelayaran selama kira-kira 45 hari itu, Pegawai Perubatan Markas Angkatan Kapal Selam (MAKS) Kapten Dr. Norsakinah Mohd Nor berkata, eksesais kali pertama yang disertai ini memberikan pengalaman baharu kepadanya dalam menjalakan tugas mencabar itu.

“Tidak dinafikan belayar dalam tempoh masa yang panjang memberikan pelbagai cabaran lebih-lebih lagi kepada pasukan perubatan kerana kita menghadapi cabaran dari segi serangan penyakit dan kecederaan lain.

“Kecekalan serta ketangkasan yang dipelajari dalam mengawal keadaan itulah yang mampu menyelesaikan semua masalah terbabit selain bantuan daripada pasukan itu sendiri,” katanya.

Katanya, dalam membabitkan misi menyelamat di bawah air, semestinya memerlukan pelbagai pihak yang berperanan besar membentuk sebuah pasukan yang mampu bertindak menangani sebarang kejadian yang berlaku.

“Pasukan penyelamat juga adalah salah satu pihak yang berperanan besar bukan sahaja memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat tetapi juga kita perlu pastikan proses menyelamat itu berjalan dengan lancar,” katanya.

Norsakinah berkata, penyertaan dalam eksesais ini menjadi satu kebanggaan buat dirinya sebagai peserta wanita tunggal.

“Saya juga ingin melahirkan kesyukuran kerana sepanjang pelayaran saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk menunaikan ibadah puasa dan saya juga bersyukur kerana ahli keluarga tetap memahami serta menyokong kerjaya saya yang mencabar ini,” katanya.

Advertisement