Anda di sini

35 pasar raya, pasar raya mini diperiksa dalam Ops Raya 2016

Advertisement

SANDAKAN: Sebanyak 32 pasar raya dan pasar raya mini di sekitar daerah ini telah diperiksa menerusi Ops Raya 2016 yang dijalankan oleh anggota Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan, kelmarin.

Operasi sehari itu turut disertai oleh kakitangan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sandakan.

Pegawai Kesihatan Sandakan Dr Johari Awang Besar berkata operasi itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan melibatkan makanan dijual yang sudah tamat tempoh, makanan rosak serta mengenal pasti sekiranya wujud kehadiran makhluk perosak seperti lipas dan tikus di premis terlibat.

“Di samping itu, kumpulan pemeriksa terlibat juga akan memberi penerangan mengenai tahap kebersihan premis dan amalan kebersihan yang perlu diamalkan demi kesihatan pengguna,” katanya kepada media kelmarin.

Operasi itu dijayakan seramai 63 kakitangan yang membuat pemeriksaan di premis-premis sekitar Bandar Sandakan hingga Batu 16.

Menurut Dr Johari, operasi seumpama itu diadakan mengikut jadual ditetapkan dengan memberi tumpuan kepada musim perayaan. Selain itu, pemeriksaan turut dijalankan di kedai-kedai runcit.

“Dalam pemeriksaan sebelum ini, kita mendapati beberapa kesalahan yang sering dilakukan pemilik adalah seperti makanan melebihi tempoh tarikh luput, perlabelan makanan yang tidak betul, kehadiran makhluk perosak serta susunan stor yang tidak mengikuti standard.

“Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan kepada peniaga agar lebih prihatin terhadap pengguna serta mematuhi akta dan peraturan yang telah ditetapkan agar makanan yang dijual adalah berkualiti serta selamat digunakan pengguna.

“Dan, bagi pengguna pula, mereka perlu lebih prihatin dan peka untuk memastikan makanan yang dibeli itu selamat untuk badan kita. Sekiranya dibeli tanpa usul periksa, kita bimbang makanan sudah lebih tarikh luput dan rosak. Pengguna perlu lebih pandai dan berinformasi,” jelasnya.

Untuk rekod, operasi kali ini melibatkan penguatkuasaan termasuk Seksyen 11, Akta Makanan 1983 (terdapat kesan urungan dan najis tikus di dalam premis); Seksyen 15, Akta Makanan 1983 (perlabelan tidak menepati standard makanan); Seksyen 4(8) Sita & Lak Makanan Yang Dirampas (mempamer makanan untuk jualan yang telah rosak dan kemek); dan Seksyen 4(8) Sita & Lak Makanan Yang Dirampas (mempamer makanan untuk jualan yang telah tamat tempoh).

Advertisement