Anda di sini

Hargai usaha k’jaan yang sediakan bantuan

Advertisement

SEMPORNA: Ahli Dewan Undangan Negeri Senallang Dato Sri Nasir Tun Sakaran meminta rakyat khususnya golongan miskin tegar agar sentiasa berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatin dan membela nasib rakyat negara ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah lupa menunaikan janjinya untuk meneruskan misi dan visi ‘tradisi membela nasib rakyat’ berlndaskan konsep 1Malaysia.

“Bantuan kerajaan adalah berterusan dan bukannya hanya bermusim,” katanya pada majlis penyampaian bantuan Ihsan Beras bagi kawasan DUN Senallang di pekarangan Bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), di sini.

Hadir sama, Pengurus Besar PPK Semporna Ahmad Rudi Abdul Rashid, Pegawai Kanan PPK Semporna Kasmadi Mutahir, Ketua Daerah Semporna OKK Musa Sabaani, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Senallang Mohd Salleh Lakani, Penghulu Zainal Jalaludin, Setiausaha Perhubungan Pengerusi Sedco Shamsolo Baharry Kairin dan Pegawai Khas Pengerusi Sedco Hj Tahir Amir.

Sempena majlis penyampaian bantuan Ihsan Beras itu, seramai 415 ketua isi keluarga golongan miskin tegar yang berdaftar dengan e-Kasih kawasan DUN Senallang menerima 20kg beras setiap seorang.

Menurut Ahmad Rudi, bagi kawasan Parlimen Semporna sahaja sejumlah 1,982 orang menerima bantuan itu dan 31,055 keluarga bagi seluruh negeri Sabah.

Program bantuan Ihsan Beras diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Januari lepas.

Di bawah program itu setiap keluarga yang layak akan menerima 20kg beras setiap bulan dari Mei hingga Disember tahun ini.

Program Ihsan Beras memberikan keutamaan kepada mereka yang berdepan masalah punca pendapatan dan ekonomi keluarga terjejas akibat kejatuhan harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit.

Program di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu bertujuan mengurangkan beban hidup keluarga miskin susulan kenaikan kos sara hidup dan kerajaan telah menetapkan penerima Ihsan Beras berdasarkan data miskin tegar e-Kasih yang merupakan rujuk tunggal Data Kemiskinan Nasional dan senarai miskin tegar Orang Asli di bawah data eDamak yang diselaraskan JAKOA.

Advertisement