Anda di sini

Bantuan khas RM500 untuk penjawat awam Sabah

Advertisement
 Hamisa bersama warga kementerian merakamkan gambar kenangan bersama anak-anak yatim dan ibu tunggal pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan.

SUMBANGAN: Hamisa bersama warga kementerian merakamkan gambar kenangan bersama anak-anak yatim dan ibu tunggal pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan.

Kerajaan negeri amat menghargai sumbangan mereka

KOTA KINABALU: Pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sempena Aidilfitri membuktikan kerajaan amat menghargai sumbangan dan perkhidmatan yang diberikan oleh penjawat awam di negeri ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat berkata ia juga bagi memberi motivasi buat mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan berintegriti serta meningkatkan prestasi sebagai anggota perkhidmatan awam negeri.

“Penjawat awam mempunyai tanggungjawab besar sebagai jentera dalam melaksanakan sistem penyampaian matlamat dan perancangan kerajaan.

“Semoga dengan perkhidmatan yang berdedikasi daripada para penjawat awam, taraf kehidupan rakyat akan semakin bertambah baik, sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan dan kemajuan negeri dan negara yang kita sayangi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada anak yatim dan ibu tunggal, di sini Isnin lepas.

Hamisa berkata umat Islam perlu mensyukuri nikmat keamanan memandangkan rakyat di negara ini dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

Menurutnya negara ini berbeza dengan negara lain yang ketika ini menghadapi pelbagai bencana seperti wabak penyakit, kebuluran dan penderitaan lain akibat peperangan.

Sehubungan itu katanya, rakyat haruslah sentiasa mengukuhkan ukhuwah perpaduan dan mengelak perpecahan kaum agar keamanan yang dikecapi akan terus berkekalan.

Mengulas majlis itu, Hamisa berkata seramai 24 anak yatim dan ibu tunggal sekitar bandar raya menerima sumbangan daripada kementeriannya.

Beliau juga menggesa agar syarikat dan badan korporat turut sama memainkan peranan membantu golongan kurang bernasib baik ini.

“Saya berharap syarikat agensi kerajaan di bawah kementerian ini juga tampil membantu golongan kurang bernasib baik melalui program-program amal dan tajaan dana.

“Sumbangan itu bukan sahaja dari segi kebendaan tetapi dalam bentuk lain seperti sokongan moral dan sebagainya,” katanya.

Advertisement