Anda di sini

‘A Guide to Hoyas of Borneo’ diharap wujud kesedaran pemuliharaan bunga

Advertisement

KOTA KINABALU: Pelancaran sebuah buku bertajuk ‘A Guide to Hoyas of Borneo’ diharapkan mampu mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk lebih mementingkan pemuliharaan pelbagai jenis bunga khususnya spesies hoya di kepulauan Borneo.

Ahli Lembaga Garden By The Bay Singapore Tan Jiew Hoe berkata, hoya adalah satu spesies bunga yang sangat cantik dan kini hanya terdapat 400 spesies bunga itu di dunia iaitu dari sebelah Utara Pergunungan Himalaya sehingga Malaysia, China Selatan, Jepun dan kawasan Utara Timur Australia, Fiji serta Papua New Guinea.

“Di Filipina misalnya, spesies itu mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 104 spesies, diikuti Papua New Guinea, 74 spesies dan Borneo 70 spesies.

“Buku ini akan membantu dalam usaha pemuliharaan spesies bunga ini memandangkan habitat tumbuhan ini semakin terancam,” katanya ketika majlis pelancaran buku A Guide to Hoyas of Borneo, kelmarin.

Beliau berkata buku yang dilancarkan itu adalah usaha yang sudah lama dilakukan oleh Datuk Anthony Lamb dan Dr Michele Rodda dengan dibantu oleh sepasukan penyelidik yang sudah bertahun lamanya mencari spesies tumbuhan baharu di dalam hutan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Natural History Publications (Borneo) Datuk C L Chan berkata, A Guide to Hoyas of Borneo adalah buku panduan bersiri ke-10 diterbitkan sejak dimulakan dua tahun lalu.

“Kebanyakan tajuk terdahulu buku panduan yang diterbitkan adalah berkaitan dengan bunga orkid termasuk dari negara Filipina, Myanmar dan Australia.

“Ia adalah satu penghormatan dapat bekerjasama dengan Anthony dan rakan-rakannya dalam menyempurnakan penerbitan buku ini,” katanya.

Advertisement