Anda di sini

MyKad boleh siap kurang 24 jam di Kota Marudu

Advertisement

KOTA MARUDU: Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia Cawangan Kota Marudu kini mampu menyiapkan kad pengenalan baharu dalam masa kurang 24 jam.

Pengarahnya Datuk Ismail Ahmad berkata, dalam masa tiga bulan akan datang, kad pengenalan (MyKad) boleh disiapkan dalam masa dua jam dan surat beranak dalam 20 minit dengan adanya mesin cetak kad pengenalan.

“JPN Kota Marudu adalah yang keenam di Sabah yang menggunakan mesin cetak itu dan ia sesuai kerana pejabat ini menerima antara 40 hingga 50 orang pelanggan setiap hari.

“JPN bukan sahaja buat kad pengenalan, tetapi juga mendaftarkan surat beranak, surat kematian dan surat kahwin bagi warganegara yang bukan beragama Islam.

“Masalah yang dihadapi di kampung-kampung yang jauh adalah daftar lewat. Bagi anak yang baharu lahir hendaklah didaftarkan dalam tempoh 42 hari dan bagi yang meninggal dunia dalam tempoh dua minggu.

“Selain itu, masalah lain yang dikenal pasti ialah kos pengangkutan bagi penduduk yang jauh dari Kota Marudu seperti Kampung Gana. Mereka terpaksa berbelanja antara RM300 hingga RM500 untuk sekali urusan di Kota Marudu,” katanya di sini pagi kelmarin.

Ismail berkata mesin cetak itu juga bakal memberi manfaat kepada 75,000 penduduk di daerah ini selain penduduk berhampiran seperti Kudat, Banggi, Pitas, Paitan serta penduduk di sempadan Kota Belud dan Ranau.

Turut hadir, Pegawai Daerah Sualim Sanan dan Pegawai Pendaftaran Negara Malaysia Cawangan Kota Marudu Azmee Latun.

 

 

Advertisement