Anda di sini

248 guru baharu dilantik

Advertisement

 Maimunah (empat kiri) dengan tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan bersama guru-guru baharu.

ANAK SABAH: Maimunah (empat kiri) dengan tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan bersama guru-guru baharu.

KOTA KINABALU: Seramai 248 guru baharu terlatih terdiri anak tempatan menerima surat pelantikan kelmarin dan ditempatkan di sekolah rendah di seluruh negeri ini.

Daripada jumlah itu, 210 adalah guru Bahasa Inggeris, manakala 38 lagi guru Pendidikan Islam yang menjalani temu duga pada November 2015.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Maimunah Suhaibul berkata jumlah guru baharu yang dilantik itu adalah daripada antara 576 pelajar berasal dari Sabah, lepasan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) tahun lepas.

“Di mana sahaja ditempatkan, anda semua perlu rasa bersyukur kerana anda semua ditempatkan di Sabah tidak kira kawasan pedalaman atau sebaliknya.

“Anda semua bertuah berbanding pengambilan guru baharu sebelum ini yang mana ada dalam kalangan mereka ditempatkan di luar Sabah,” katanya pada majlis taklimat dan penempatan guru baharu ke sekolah-sekolah di Sabah, kelmarin.

Beliau berkata, 210 guru baharu itu akan mengajar dalam subjek Bahasa Inggeris manakala selebihnya mengajar dalam Pendidikan Islam.

Katanya, baki daripada mereka yang masih belum mendapat tempat perlu menunggu pengambilan seterusnya iaitu pada Ogos depan.

“Seramai 248 guru baharu ini semuanya berasal dari Sabah yang mana usaha sedemikian dilakukan kerajaan untuk mencapai 90 peratus guru yang mengajar di sekolah rendah Sabah adalah berasal dari negeri ini, manakala 10 peratus berasal dari negeri lain.

“Kini kita telah mencapai 81 peratus dan hanya perlu mengisi sembilan peratus lagi di masa akan datang bagi mencapai objektif itu,” katanya.

Menurut Maimunah, guru baharu yang ditempatkan di Sabah khususnya kawasan pedalaman perlu memberi komitmen tinggi dan sanggup berkorban demi meningkatkan prestasi akademik anak Sabah.

Katanya, guru baharu perlu menunjukkan daya tahan yang tinggi dan sanggup kekal di satu-satu tempat bagi satu tempoh yang lama.

“Kini Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) telah meningkat, saya berharap dengan kehadiran para guru baharu ini akan meningkatkan lagi prestasi kecemerlangan murid-murid dalam UPSR.

“Saya juga ingin berpesan kepada para guru baharu agar hormati tugasan dan tanggungjawab yang diberikan oleh guru besar masing-masing.

“Terima tanggungjawab itu dengan hati yang terbuka dan berikan komitmen yang tinggi untuk melaksanakan tugasan yang diberikan,” katanya.

 

 

Advertisement