Anda di sini

Pembangkang terus manipulasi isu GST, mahu rakyat benci kerajaan

Advertisement

KUALA KANGSAR: Pembangkang yang masih berterusan memanipulasikan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dilihat hanya bertujuan menyemai kebencian rakyat terhadap kerajaan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Beliau berkata sejak dilaksanakan 1 April tahun lepas, pelbagai isu dibangkitkan pembangkang berkaitan GST termasuk dakwaan kononnya cukai itu akan dinaikkan lagi.

“Ini semua permainan pembangkang yang sengaja membangkitkan perkara ini dari masa ke semasa. (Namun) Rakyat boleh nilai sendiri sekarang terhadap apa yang kerajaan laksanakan ke arah kebaikan rakyat itu sendiri meliputi semua latar belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sijil Kelayakan dan Inden Kerja Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Seramai 77 penerima menerima Sijil Kelayakan RMR1M berjumlah RM20,000 setiap seorang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pembangkang bahawa kerajaan akan menaikkan lagi kadar GST kepada lapan peratus.

“Kalau kita perhatikan sejarah dalam politik, apa yang pembangkang buat.

Tiada apa yang mereka bawa selain provokasi,” katanya yang juga Bendahari UMNO.

Sementara itu, Abdul Latiff berkata setiap penerima yang menerima Sijil Kelayakan tersebut hanya perlu membayar RM45,000 daripada harga asal rumah iaitu RM65,000.

“Setiap bulan mereka hanya perlu membayar RM270 selama 25 tahun. RM20,000 adalah subsidi ditanggung kerajaan,” katanya.

Bagi negeri Perak, sebanyak 4,044 permohonan RMR1M diluluskan daripada 9,121 permohonan.

Sebanyak 3,796 unit rumah berjaya disiapkan sehingga kini manakala 186 unit dalam proses pembinaan.

Sementara itu, di SUNGAI BESAR, anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata tindakan PAS yang mendakwa GST akan dinaikkan kepada 10 peratus sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dalam PRK di kedua-dua Parlimen adalah fitnah dan sengaja dibuat bagi memesongkan pemahaman rakyat.

Beliau berkata sejak awal pelaksanaan cukai berkenaan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berulang kali menyatakan bahawa kadar enam peratus yang dikenakan sekarang tidak akan dinaikkan.

“Malah, semasa pilihan raya negeri Sarawak yang lalu juga perdana menteri telah memberi jaminan bahawa kadar ini tidak akan dinaikkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan makmal komputer di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar semalam.

Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata kenyataan yang dibuat oleh PAS itu hanyalah untuk menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan.

Justeru, pengundi wajar menilai kembali maklumat yang mereka terima sama ada ia tepat atau tidak bagi mengelakkan daripada mereka membuat pilihan salah yang kelak akan merugikan, katanya. — Bernama

Advertisement