Anda di sini

Harga bahan mentah di P.Pinang naik mendadak

Advertisement

Daun sup kini RM16 hingga RM18 sekilogram berbanding sebelum ini RM6 hingga RM7 sekilogram

 Daun sup dijual dengan harga RM16 sekilogram jauh berbeza dengan harga biasa iaitu antara RM6 dan RM7 sekilogram, di Pasar Awam Batu Lanchang semalam. — Gambar Bernama

TERLALU MAHAL: Daun sup dijual dengan harga RM16 sekilogram jauh berbeza dengan harga biasa iaitu antara RM6 dan RM7 sekilogram, di Pasar Awam Batu Lanchang semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Harga beberapa bahan mentah seperti sayur-sayuran, cili dan ayam di pasar awam di negeri ini didapati naik secara mendadak sejak dua minggu lepas.

Tinjauan Bernama di pasar awam Batu Lancang di sini semalam, mendapati harga ayam di pasar itu ialah RM8.70 sekilogram manakala cili merah dan cili hijau dijual pada harga RM20 sekilogram.

Antara harga sayuran yang naik secara mendadak ialah daun sup yang kini dijual RM16 hingga RM18 sekilogram berbanding sebelum ini sekitar RM6 hingga RM7 sekilogram

Tinjauan Bernama di pasar itu juga mendapati peniaga tidak mempamerkan tanda harga pada sayur-sayuran yang dijual.

Seorang suri rumah Saodiah Wahidin, 57, ketika ditemui semasa membeli barangan dapur di pasar itu, berkata harga cili merah, cili hijau dan cili api naik sejak bulan lepas.

“Harga cili merah dan cili hijau di sini ialah RM20 sekilogram manakala cili api RM18 sekilogram. Harga sayur-sayuran berdaun juga naik secara mendadak walaupun musim kemarau telah berakhir,” katanya.

Saodiah berkata beberapa bulan lepas, cili merah dan cili hijau boleh dibeli dengan harga antara RM11 dan RM12 sekilogram manakala cili api hanya dijual antara RM10 dan RM11 sekilogram.

Seorang penjual sayur Lim Kok Leong, 62, berkata harga sayur-sayuran sememangnya naik berikutan kekurangan bekalan kerana ia terpaksa diimport dari luar negara.

“Bekalan sayuran dari Cameron Highlands telah berkurangan sejak musim kemarau berpanjangan dari Januari hingga Mei lepas, dan menyebabkan kenaikan harga sayur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang Mohd Nawardi Saad mengakui berlaku kenaikan harga ayam di pasar awam di negeri ini.

Beliau berkata harga ayam standard dijual antara RM8.50 dan RM9 sekilogram, jauh berbeza berbanding harga tahun lepas RM7.30 hingga RM7.50.

“Antara alasan diberikan pembekal atau pengeluar ialah harga makanan ayam iaitu jagung naik berikutan kekurangan untuk mendapatkan bekalan jagung. Selain itu kekurangan pekerja juga dikatakan menjadi faktor kepada pembekal menaikkan harga ayam,” katanya.

Nawardi berkata pihaknya memantau perkara itu dan menerusi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri di seluruh negara bermula Khamis ini, ayam perlu dijual pada harga RM7.90 sekilogram.

“Untuk tahun ini, harga ayam di bawah skim itu adalah RM7.90 dan peniaga mesti mematuhi peraturan ini. Selain itu bagi pembekal, harga ayam ditetapkan pada RM7.10,” katanya yang turut mengingatkan peniaga agar tidak engkar dengan harga yang ditetapkan itu.

Beliau berkata peniaga yang tidak mematuhi harga ditetapkan itu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun.

Sabtu lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengumumkan 21 jenis barangan disenaraikan di bawah skim kawalan harga musim perayaan berkuatkuasa 16 Jun hingga 6 Julai ini.

Antara barangan itu ialah ayam standard, telur ayam, cili merah, tomato dan ikan kembung. — Bernama

Advertisement