Anda di sini

Buruh binaan maut tersepit mesin pembancuh simen

Advertisement

Cedera parah di perut kerana tersangkut pada bilah mesin

JASIN: Seorang buruh binaan maut apabila tersepit di dalam mesin membancuh simen dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan di Lipat Kajang berhampiran sebuah kilang kaca di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Sampornak Ismail berkata M. Arun Kumar, 19, maut selepas tersepit pada bilah mesin pembancuh simen ketika sedang membersihkan mesin berkenaan dalam kejadian jam 11.30 pagi.

“Polis menerima maklumat jam 12.20 tengah hari dan siasatan awal mendapati lelaki berkenaan telah bekerja di tapak pembinaan berkenaan selama 13 hari. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sementara itu, Pengawai Bomba Kanan I, K. Karupanan berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam mesin berkenaan.

Beliau berkata mangsa yang berasal dari Taman Kelubi Damai di sini mengalami kecederaan parah di bahagian perut kerana tersangkut pada bilah mesin berkenaan dan pihaknya terpaksa mengeluarkan mangsa dengan berhati-hati.

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar yang berasingan, Sampornak berkata polis merampas 100 kilogram daun ketum bernilai kira-kira RM16,000 dalam sebuah kereta di KM185 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban di sini, jam 10.30 malam kelmarin.

Katanya, hasil siasatan pihaknya menjumpai 18 beg plastik hitam berisi daun ketum, sebuah beg berisi pakaian, alat penimbang dan dokumen milik pemandu tersebut di dalam kenderaan berkenaan.

“Pada mulanya, kenderaan yang dipandu seorang lelaki tempatan itu dari arah Ayer Keroh menghala ke selatan sebelum diekori sebuah kereta peronda polis lebuh raya yang mencurigai kenderaan berkenaan.

“Kenderaan berkenaan diarahkan berhenti untuk diperiksa namun pemandu berkenaan enggan menghentikan kenderaan. Sebaik tiba di R&R Bemban, pemandu tersebut bertindak memandu kereta berkenaan secara melawan arus,” katanya.

Sampornak berkata sebuah lagi kenderaan polis peronda lebuh raya turut mengejar kenderaan tersebut kira-kira 10 minit sebelum suspek menghentikan kenderaan berkenaan dan melarikan diri.

“Siasatan awal polis telah mengenal pasti identiti pemandu kenderaan berkenaan yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun dan berasal dari luar Melaka serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata daun ketum berkenaan disyaki baharu dipetik untuk dijual di pasaran tempatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952. — Bernama

Advertisement