Anda di sini

UMS turut bantu mangsa kebakaran

Advertisement

KOTA KINABALU: Pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan kepada lebih 2,000 mangsa kebakaran dalam tragedi 23 Mei di Kampung Landung Ayang Kudat.

Turut tidak ketinggalan ialah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malayia Sabah (UMS) bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UMS serta Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), UMS yang  turun padang memberi sumbangan berbentuk keperluan asas seperti minuman dan makanan kepada mangsa kebakaran berkenaan.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah berharap bantuan itu mampu meringankan beban mangsa yang kehilangan harta benda akibat kebakaran itu sempena bulan Ramadan ini.

“Kami faham bukan senang untuk mangsa menerima keadaan ini lebih-lebih lagi berhadapan dengan bulan Ramadan seterusnya Syawal yang bakal menjelang

“UMS sangat prihatin terhadap musibah yang menimpa penduduk di kampung ini. Sebagai makluman, kita di UMS bukan sahaja menjalankan kegiatan akademik semata-mata, tetapi turut menjalankan tanggungjawab sosial melalui program bantuan khidmat masyarakat seperti yang dijalankan pada hari ini,” katanya.

Menurutnya lagi, selepas mendapat berita tentang kebakaran yang berlaku, usaha untuk membuat kutipan ini dikongsi melalui laman sosial Facebooknya dan kumpulan-kumpulan yang terdapat dalam aplikasi WhatsApp yang memberikan bantuan dan sumbangan termasuk barangan dan wang tunai untuk diserahkan kepada mangsa.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor HEPA UMS Prof Madya Dr Ismail Ali turut melahirkan rasa simpati kepada mangsa kebakaran ini.

“Kami berasa sedih dan simpati atas kejadian yang berlaku di kampung ini. Kami di Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, UMS sentiasa prihatin dengan isu semasa yang berlaku terutamanya melibatkan seorang pelajar kami di UMS,” tegasnya.

Bantuan turut diberikan kepada keluarga pelajar Siti Badariah Abdul Pattah, di kediaman ibu saudara beliau di Kampung Tanjung Kapur, Kudat yang terlibat dengan kebakaran itu.

Bantuan tersebut berupa makanan dan wang ringgit bagi membantu Siti Badariah meneruskan pengajian di UMS.

“Kami warga UMS turun padang ke kampung ini pada hari ini merupakan inisiatif UMS untuk membantu komuniti yang memerlukan,” tambahnya lagi

Rombongan diketuai oleh Ismail mewakili Naib Canselor UMS dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS Azmi Jumat.

Advertisement