Anda di sini

Tiada bukti kukuh dalam kes penyalahgunaan dana HCASS

Advertisement

HCASS didakwa terlibat dalam penyalahgunaan dana RM4j

PUTATAN: Tiada bukti kukuh dalam kes penyalahgunaan dana yang berlaku dalam Pertubuhan Bantuan Kanak-Kanak Humana Sabah (HCASS).

Pengerusi Lembaga Pengurus Pusat Pembelajaran Humana merangkap Eksekutif Exco HCASS Dr Jamal Kastari berkata, berdasarkan siasatan polis, tiada bukti kukuh dalam kes penyalahgunaan dana dalam pertubuhan ini. Malah, jika dilihat dalam rekod audit, polis tidak menemui sebarang bukti.

Bagaimanapun, pihak terlibat dengan kes ini telah diberhentikan perkhidmatan pada tahun lalu bagi mengelakkan berlaku sebarang isu yang sama pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini isu penyalahgunaan dana HCASS yang hangat diperkatakan sejak awal tahun lalu. Berdasarkan laporan akhbar tempatan pada awal tahun lalu, Humana Sabah didakwa terlibat dalam penyalahgunaan dana berjumlah RM4 juta.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif HCASS Jan Mohd Khan berkata, siasatan polis mendapati tidak timbul isu penyalahgunaan dana yang berlaku dalam pertubuhan berkenaan. Cuma terdapat kesilapan dalam rekod kewangan.

Kemudian menyentuh mengenai Kempen ‘Sabah Cergas Bersama Antabax dan Servay’, Jan berkata, beliau melihat usaha Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd mengadakan kempen itu bagi membantu Pusat Pembelajaran Humana amat tepat pada masanya.

Katanya, HCASS memang memerlukan dana bagi menaik taraf Pusat Pembelajaran Humana sedia ada.

“Usaha ini amat bersesuaian dengan hasrat kami bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk kanak-kanak yang ketinggalan dalam pembelajaran disebabkan mereka bukan warganegara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, dana yang diterima itu nanti akan digunakan bagi membeli papan putih dan peralatan sukan untuk Pusat Pembelajaran Humana di seluruh Sabah.

Katanya, memandangkan kelengkapan bilik darjah sekarang masih menggunakan kapur untuk menulis, ia tidak baik dari segi kesihatan kerana kapur menghasilkan debu yang boleh membahayakan kesihatan.

Kempen Antabax ini sesuai dengan peranan yang dimainkan bagi mempromosikan kesihatan dalam kalangan penggunanya.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 1991, pertubuhan itu berjaya mewujudkan 140 buah pusat pembelajaran di seluruh Sabah terutama di kawasan perladangan.

Pusat yang pada awalnya hanya mempunyai 27 orang pelajar semasa ia ditubuhkan di Ladang Korosa, Kinabatangan pada 25 tahun lalu, kini mempunyai seramai lebih 13,000 orang pelajar.

Menurutnya, kanak-kanak yang belajar di situ terdiri daripada pelajar tadika hingga tahun enam. Kesemua pelajar ini mendapat pendidikan teras Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains yang diajar berasaskan kokurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pusat Pembelajaran Humana terdapat di tujuh buah daerah iaitu Kunak, Tawau, Kinabatangan, Semporna, Sandakan dan Telupid.

Kebanyakan pusat pembelajaran ini dibuka dengan kerjasama ladang-ladang besar yang berada di setiap kawasan.

Advertisement