Anda di sini

T’ganu pantau keselamatan makanan di 61 bazar Ramadan

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menjalankan operasi penguatkuasaan kebersihan dan keselamatan makanan di 61 tapak bazar Ramadan melibatkan 4,953 petak penjaja di seluruh negeri.

Pengarahnya Dr Mohammad Omar berkata pemantauan dan pemeriksaan turut dilakukan ke atas pembekal bahan mentah, premis penyedia ais serta gerai makanan yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan dan gerai yang tidak berdaftar.

“Ia bagi memastikan pengendali makanan yang membekal makanan kepada peniaga-peniaga di bazar Ramadan serta pihak pengeluar ais mematuhi etika dan peraturan-peraturan pengendalian makanan agar makanan yang dijual kepada pengguna adalah selamat dan bebas daripada pencemaran yang boleh memudaratkan kesihatan,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Katanya, pemeriksaan itu melibatkan sebanyak 35 premis pembekal bahan mentah (pembekal ayam, daging, ikan, bahan runcit dan lain-lain), 12 premis penyedia ais dan kilang ais serta sembilan premis penyedia dan pembekal kuih-muih.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas 56 premis pembekal bahan mentah tersebut mendapati sebanyak 17 premis (30.4 peratus) berada pada tahap ‘Sangat Baik’ (Gred A) dan 39 premis (69.6 peratus) pula dikategorikan pada tahap ‘Baik’ (Gred B).

Dr Mohammad berkata bagi premis kategori C, pengusahanya diberi nasihat dan bimbingan melalui pendekatan mendidik sebelum mengambil tindakan ke atas mereka.

“Selain pemeriksaan secara fizikal, persampelan ke atas makanan juga dijalankan bagi mengetahui tahap keselamatan makanan yang dijual terutama daripada aspek pencemaran mikrobiologi. — Bernama

Advertisement