Anda di sini

RM300,000 diperuntukkan untuk bantuan warga miskin Parlimen Sepanggar

Advertisement
 Jumat (dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima, turut kelihatan ialah Zaitun (tiga kanan) dan Ramlan (kanan).

KOMITED: Jumat (dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima, turut kelihatan ialah Zaitun (tiga kanan) dan Ramlan (kanan).

SEPANGGAR: Sejumlah RM300,000 diperuntukkan untuk memberikan bantuan dan sumbangan kepada fakir miskin sepanjang bulan Ramadan di Parlimen Sepanggar.

Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris berkata, sumbangan-sumbangan itu termasuklah bantuan pembinaan dan pembaikan masjid, surau, program Ramadan dan program anak yatim.

“Ini sudah menjadi tanggungjawab tahunan melalui Jabatan Perdana Menteri yang memperuntukkan sejumlah dana kepada semua Ahli Parlimen bagi menyediakan sumbangan mesra kepada rakyat.

“Kita gunakan sumbangan ini untuk membantu warga miskin di sekitar Parlimen Sepanggar agar meringankan beban mereka sempena bulan Ramadan dan juga Hari Raya akan datang,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis Sentuhan Kasih Ramadan kelmarin.

Beliau berkata, bantuan sedemikian akan diteruskan dan program seterusnya adalah menyerahkan sumbangan kepada anak yatim.

Katanya, sumbangan yang diserahkan itu adalah sebahagian daripada usaha Perdana Menteri untuk meringankan beban hidup rakyat di seluruh negara pada bulan Ramadan ini.

“Saya harap sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban mereka khususnya membeli keperluan sebelum Hari Raya nanti,” katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai 303 orang penerima hadir yang berasal dari 102 buah kampung di sekitar Parlimen Sepanggar.

Turut hadir ialah Naib Ketua Bahagian UMNO Sepanggar Zaitun Kassim, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sepanggar Ramlan Awal serta tetamu kehormat yang lain.

Advertisement