Anda di sini

Generasi muda harus ambil kira kepentingan berpersatuan

Advertisement

KUDAT: Presiden Persatuan Bajau Samah Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor berkata, Persatuan Bajau Samah diwujudkan bertujuan untuk mempertahankan adat resam, kebudayaan, keaslian bahasanya agar tidak dicemari oleh pelbagai budaya dan kekal sepanjang hayat.

Katanya, persatuan ini sama matlamatnya dengan persatuan-persatuan lain yang terdapat di negeri ini yang mahukan bangsanya maju dan berdaya saing dengan bangsa-bangsa lain terutama sekali dalam menjaga budaya, adat resam serta keharmonian kaum.

Menurutnya, generasi hari ini harus mengambil kira akan kepentingan berpersatuan agar mereka tidak lupa bahawa persatuan boleh memperkasa, memartabatkan bangsa mereka sendiri agar terus unggul, tersohor dan relevan.

Beliau menyingkap sejarah lebih 10 tahun lalu ketika beliau terserempak dengan anak muda bangsa Bajau yang tidak tahu asal-usulnya dan tidak tahu akan bahasa ibundanya sendiri walhal mereka adalah anak Bajau yang sedaerah dengannya.

“Sehubungan itu, saya mengajak semua anak bangsa Bajau Samah yang berada di luar sana agar menyertai persatuan Bajau Samah yang terdapat di kawasan masing-masing agar mereka tidak lupa asal-usul diri mereka yang sebenarnya,” katanya.

Tambahnya, persatuan Bajau Samah di seluruh negeri ini dengan rendah diri menyokong akan kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman sebagai pemimpin nombor satu negeri ini yang dijadikan sebagai pakar rujuk oleh Persatuan Bajau Samah dalam membantu pembangunan kerajaan dari pelbagai sudut.

Hajiji yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan antara lain berkata demikian pada Majlis Perasmian Persatuan Bajau Samah Daerah Kudat di Dewan Tun Mustapha dekat sini baru-baru ini.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Bajau Samah Daerah Kudat Datu Ariffin Datu Ibrahim berkata, daerah ini memang sedari dulu lagi dihuni oleh ramai bangsa Bajau Samah yang diketuai oleh Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun namun tidak ada pencapaian yang diambil sehingga ia diwujudkan dalam bentuk persatuan.

Oleh yang demikian, generasi hari ini memberi kesinambungan warisan turun-temurun bangsa Bajau Samah dengan membentuk sebuah persatuan yang sebelum ini tidak kesampaian atas beberapa faktor.

Katanya, sejarah perjuangan bangsa sendiri perlu dihayati secara mendalam agar sesuatu kaum tidak kehilangan identiti mereka sendiri yang bakal merugikan diri dan keluarga.

Sehubungan itu, pada hari ini mereka mengambil keputusan untuk membentuk persatuan Bajau Samah sebagai jaminan bahawa bangsa Bajau Samah tidak mudah tercicir dari arus pembangunan.

Pada majlis itu Hajiji melalui Persatuan Bajau Samah Pusat menyumbang RM10,000 kepada Persatuan Bajau Samah Daerah Kudat bagi tujuan membeli kelengkapan persatuan seperti alat muzik tradisi set kulintangan, pakaian tradisi suku kaum Bajau Samah dan sebagainya.

Sebanyak RM5,000 turut disumbangkan untuk pengurusan khas persatuan Bajau Samah Daerah Kudat, RM2,000 kepada mangsa kebakaran di Kampung Gumpa/Perpaduan dan RM2,000 untuk mangsa kebakaran di Kampung Landung Ayang Laut Kudat.

Advertisement