Anda di sini

Lelaki warga Indonesia ditahan guna MyKad palsu

Advertisement

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia berumur 41 tahun kerana menggunakan MyKad palsu yang mempunyai butiran peribadi warganegara untuk membuat pinjaman kereta dan permohonan kad kredit.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata perkara itu terbongkar selepas pemilik asal butiran peribadi MyKad yang berumur 42 tahun, membuat aduan kepada pihak polis setelah mendapati laporan kredit dari Bank Negara menunjukkan beliau ada hutang pinjaman kereta dan kad kredit.

“Bagaimanapun, menurut pengadu, beliau tidak pernah membuat kedua-dua pinjaman itu. Pengadu kemudiannya tampil membuat laporan polis untuk menyiasat perkara tersebut,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Chandra berkata hasil siasatan, polis telah menahan suspek, yang merupakan penyelia di sebuah ladang kelapa sawit di Beluran, di ladang tersebut pada 4 Jun lepas serta merampas sebuah kereta Perodua Kembara.

Katanya suspek telah menggunakan Mykad palsu sejak 2011 yang dibeli daripada sindiket di Sandakan pada harga RM1,000 dan melalui MyKad itu suspek membuat permohonan kerja sebagai penyelia selain pinjaman kewangan.

“Polis akan membuat siasatan lanjut berhubung perkara ini termasuk sindiket penjualan MyKad terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Chandra turut menasihatkan bank dan institusi kewangan supaya menyemak secara terperinci ketika memproses permohonan pinjaman jika didapati butiran peribadi individu terbabit meragukan, selain mahu orang ramai menyemak laporan kredit jika ada sebarang keraguan.

Dalam perkembangan lain, Chandra berkata polis telah menahan 53 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dalam satu operasi bermula 12 tengah malam hingga 3 pagi semalam  di kawasan setinggan sekitar Telipok, Manggatal dan Inanam.

Kesemua PATI ditahan untuk proses pendokumentasian itu masing-masing 41 warga Filipina dan 12 warga Indonesia, terdiri daripada 30 lelaki, 17 wanita, tiga kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

“Maklumat mengenai penempatan setinggan PATI ini diperolehi daripada aduan orang ramai semasa Hari Bertemu Pelanggan bersama polis,” katanya.

Terdahulu, Chandra menerima lima buah basikal daripada sebuah hotel untuk kegunaan sukarelawan polis membuat rondaan di taman-taman rekreasi di sekitar Kota Kinabalu. — Bernama

Advertisement