Anda di sini

40 pelajar cemerlang terima biasiswa Petronas

Advertisement

KOTA KINABALU: Melihat susah payah ayahnya yang bekerja sebagai petani membesarkan mereka empat beradik membuatkan Suziana Era Ah Yit @Suaip, 18, sentiasa ingin memperoleh keputusan cemerlang supaya dapat membuatkan ibu bapanya bangga.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arshad Kota Belud ini berkata, memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah hadiah terbaik daripadanya untuk kedua-dua ibu bapanya.

Anak bongsu daripada empat beradik ini kemudiannya berusaha memohon biasiswa Petronas bagi melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan.

Minat mendalam dalam mata pelajaran Fizik semasa berada di tingkatan lima membuatkan dia menyimpan hasrat untuk menjadi jurutera mekanikal. Sebelum itu, beliau bercita-cita menjadi seorang doktor tapi minatnya berubah apabila memasuki tingkatan lima.

Tuah ternyata berpihak kepadanya, apabila dia adalah antara 40 pelajar cemerlang terpilih sebagai penerima Program Biasiswa Pendidikan Petronas (PESP).

Meskipun turut menerima tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Malaya namun, dia mengambil keputusan memilih melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Pelajar yang berasal dari Kampung Piasau, Kota Belud ini memilih kejuruteraan mekanikal kerana ia adalah kursus yang paling mencabar antara semua kursus kejuruteraan lain.

Melihat cabaran itu, dia yang sememangnya gemar akan cabaran mengambil tindakan berani meneruskan hasratnya menceburi bidang yang selalunya didominasi oleh kaum lelaki itu.

Suziana bersama penerima biasiswa lain akan mendaftar di UTP bermula 20 Julai depan dan adalah menjadi harapannya agar proses pembelajaran di sana akan berjalan lancar.

Katanya, membesar dalam kalangan adik-beradik yang cemerlang membuatkan dia ingin meneruskan legasi adik-beradiknya yang lain.

Dia berhasrat untuk bekerja dengan Petronas bagi menimba pengalaman sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah dan Ijazah Kedoktoran di Amerika Syarikat atau United Kingdom.

Sementara itu, ibunya Soipa Banati, 48, amat gembira apabila diberitahu anaknya antara pelajar cemerlang bertuah yang terpilih menerima biasiswa Petronas.

“Sejak dari anak sulung saya lagi, saya dengar mereka berhasrat untuk mendapat tajaan pendidikan Petronas namun, mereka sering terlepas peluang untuk memohon. Nasib baik juga anak bongsu saya terpilih mendapat tajaan biasiswa ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Tajaan Pendidikan Petronas 2016, di sini kelmarin.

Turut berkongsi kegembiraan yang sama apabila terpilih menerima biasiswa di bawah PESP ialah Errvent Ensoi, 18, yang menjadi antara pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek, Kota Marudu.

Errvent yang memperoleh 9A 2B dalam SPM akan mengikuti program Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Petrona (UTP).

Selain tawaran melanjutkan pengajian di UTP, dia turut mendapat tawaran universiti awam lain dan Matrikulasi.

Akan tetapi, dia memilih untuk melanjutkan pengajian di Petronas kerana peluang bekerja bersama Petronas terbuka luas bagi pelajar di bawah tajaan PESP.

Anak sulung daripada dua beradik ini pada mulanya ingin menjadi seorang doktor tetapi apabila mempelajari subjek Fizik semasa berada di tingkatan empat, cita-citanya terus beralih kepada bidang kejuruteraan.

Penerima biasiswa yang berasal dari Kota Belud ini pernah menyertai pertandingan debat Bahasa Inggeris peringkat negeri.

Sementara itu, ibunya Suim Bungin, 43, yang juga seorang guru berkata kejayaan anak sulungnya itu akan menjadi teladan kepada adiknya yang kini berada di tingkatan empat.

Katanya, biasiswa itu hanya sebagai permulaan dan selebihnya bergantung kepada Errvent untuk meneruskan kecemerlangannya dalam bidang akademik.

Beliau berkata, biarpun anaknya sering bermain permainan dalam talian tetapi dia tahu membahagikan masa untuk belajar dan bermain.

Advertisement