Anda di sini

4,500 bot, kapal diperiksa

Advertisement

Dalam operasi Maritim Malaysia sepanjang tahun ini

 Ahmad Puzi (empat kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Tun Juhar.

KUNJUNGAN HORMAT: Ahmad Puzi (empat kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Tun Juhar.

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Sabah dan Labuan menjalankan pemeriksaan ke atas 4,500 bot dan kapal laut pelbagai jenis sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Dato’ Ahmad Puzi Ab Kahar berkata hasil daripada pemeriksaan berterusan dan kerjasama dengan agensi keselamatan lain, menyebabkan aktiviti jenayah penyeludupan dan rentas sempadan kekal di bawah paras 3 peratus di perairan Sabah dan Labuan.

“Ini satu pencapaian yang bukan sahaja datang dari pengorbanan jitu setiap anggota yang bertugas malah penduduk setempat juga memainkan tanggungjawab mereka.

“Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan melancarkan Operasi Pagar Laut di seluruh perairan negara sepanjang Ramadan dan Syawal ini bagi memastikan kedaulatan perairan negara terus terpelihara daripada aktiviti jenayah.

“Maritim Malaysia bersama agensi keselamatan yang lain sentiasa berganding bahu untuk memperkukuh keselamatan sempadan negara daripada dibolosi anasir yang mengancam keselamatan rakyat negeri ini,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, pagi kelmarin.

Ahmad Puzi berkata pihaknya juga akan menggunakan segala aset yang telah dibekalkan kerajaan seperti kapal laut dan pesawat khas untuk meningkatkan kawalan perairan negara terutama di kawasan perairan timur Sabah dan ESSZone.

Beliau juga menasihatkan penduduk setempat agar terus memberikan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara dan menegaskan Maritim Malaysia sentiasa bersedia dengan apa jua bentuk ancaman yang mungkin berlaku.

Turut hadir, Pengarah Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som.

Advertisement