Anda di sini

Jalinan Tani dilancar sempena AGM PPK Kinabalu

Advertisement
 Sylvester Entri (kanan) menerima cenderahati disampaikan Kasin.

TERIMA KASIH: Sylvester Entri (kanan) menerima cenderahati disampaikan Kasin.

RANAU: Program Jalinan Tani yang dilancarkan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kinabalu di Dewan Masyarakat Ranau baru-baru ini perlu dilihat sebagai sesuatu yang positif.

Ia juga hendaklah dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para petani atau peladang untuk memacu kemajuan dalam bidang yang diceburi sama ada pertanian atau perniagaan bagi menjana pendapatan.

Mesyuarat Agung Tahunan PPK Kinabalu itu telah dirasmikan oleh Naib Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (NAFAS) merangkap Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Petubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah Datuk Mohd Nazri Abdullah.

Manakala, pelancaran Program Jalinan Tani disempurnakan AJP NAFAS Datuk Sylvester Entri Muran dan dihadiri seramai 179 perwakilan PPK Kinabalu.

Hadir sama ialah Pengarah LPP Sabah Anita Misuari, Penolong Pegawai Daerah Ranau Lasiman Kumbas, Pengurus Besar PPK Kinabalu Sairin Dusin, Pengerusi AJP PPK Kinabalu Kasin Padasian dan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.

Salah seorang perwakilan PPK Kinabalu Unit Peladang Kampung Napong 1, Oredi Rudin, 56, yang juga seorang pesara kerajaan menyifatkan pelancaran Jalinan Tani itu sebagai satu catatan sejarah bagi PPK Kinabalu, yang pastinya mampu membantu para petani meningkatkan pendapatan hasil pertanian dan perladangan atau perniagaan mereka.

“Kita mengharapkan program Jalinan Tani yang dilancarkan itu benar-benar berfungsi untuk membantu para petani kawasan Kundasang dan Ranau, yang majoriti penduduknya memperolehi sumber pendapatan melalui bidang pertanian,” katanya.

Beliau seterusnya mencadangkan kepada pihak PPK Kinabalu agar mempelbagaikan aktivitinya termasuk mengadakan lebih banyak kursus atau seminar pertanian, bimbingan serta penyaluran subsidi kepada para petani khususnya melibatkan penyertaan para ahli di setiap Unit Peladang berdaftar dengan PPK Kinabalu.

“Bimbingan melalui kursus atau seminar petani serta pemberian subsidi kepada para ahli adalah amat penting dan landasan bagi para petani menjana pendapatan lebih lumayan,” katanya.

Advertisement