Anda di sini

Warga asing mati lemas akibat mengelak ditangkap

Advertisement

 Kawasan sungai yang menjadi tempat mangsa dan beberapa orang pekerja warga asing terjun semasa operasi PATI oleh MKN.

LEMAS: Kawasan sungai yang menjadi tempat mangsa dan beberapa orang pekerja warga asing terjun semasa operasi PATI oleh MKN.

PENAMPANG: Akibat mengelak daripada ditangkap, seorang warga asing bertindak terjun ke sungai sebelum ditemukan mati lemas di Kampung Tanaki Jalan Penampang Lama, di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Rosley Hobden berkata mangsa Marajin Saliling iaitu warga Filipina dilaporkan terjun ke sungai di kawasan berkenaan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjalankan operasi melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menurutnya, operasi terbabit dibuat pada Jumaat lepas kira-kira jam 4.30 pagi di kawasan projek perumahan Taman Gemilang 2 Jalan Tanaki, di sini.

Difahamkan, semasa operasi dijalankan mangsa dan beberapa orang lagi pekerja di tapak projek berkenaan bertindak melarikan diri dan terjun ke sungai untuk mengelak daripada ditangkap pihak MKN.

“Selepas menyedari mangsa tidak kembali ke tempat kerja, majikannya membuat laporan polis kerana mengesyaki mangsa hanyut dibawa arus.

“Polis kemudiannya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata operasi SAR disambung semula pada hari Sabtu dan mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira jam 12.50 tengah hari sekitar 100 meter dari lokasi kejadian.

Rosley berkata kes berkenaan disiasat sebagai mati lemas.

Advertisement