Anda di sini

Lakukan saringan terhadap warga asing datang untuk kebajikan: Azizah

Advertisement

KUALA PENYU: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun meminta jabatan serta agensi kerajaan berkaitan untuk melakukan saringan ke atas mana-mana individu sukarelawan warganegara asing yang masuk ke negara ini.

Menurutnya, ia bertujuan memastikan individu terbabit tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau apatah lagi yang berkaitan dengan kes pencabulan kanak-kanak (pedofil).

“Sukarelawan terutama warganegara asing yang mendakwa kononnya mahu datang ke negara ini untuk membantu kanak-kanak miskin dan sebagainya, perlu melalui saringan ketat sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

“Kita alu-alukan sesiapa saja yang mahu datang atas nama kemanusiaan, namun tindakan tegas ini perlu bagi memastikan mereka tidak mendatangkan mudarat kepada mana-mana rakyat kita khususnya kanak-kanak.

“Sehubungan itu, jabatan dan agensi berkaitan harus melaksanakan saringan ini untuk membendung elemen-elemen jahat daripada berlaku,” katanya selepas menyempurnakan Program Kenduri Sekampung di Kampung Tinambak, di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media luar berhubung kes pedofil warga British, Richard Huckle yang dituduh melakukan jenayah itu ke atas 200 kanak-kanak, termasuk di Malaysia dari tahun 2006 hingga 2014.

Huckle, 30, warga Britain, dipercayai menyamar sebagai guru bahasa Inggeris yang dalam tugas sukarelawan semasa berada di Malaysia bagi membolehkannya mendekati kanak-kanak di Kuala Lumpur.

Beliau yang ditahan di Lapangan Terbang Gatswick pada 2014 lalu selepas balik dari negara ini untuk menyambut Krismas, berhadapan 22 hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah atas 71 kesalahan mendera golongan itu.

Dalam pada itu, Azizah berkata, Jabatan Kebajikan dan beberapa agensi di bawah kementeriannya boleh dirujuk pihak berkaitan bagi mengenal pasti kedudukan mana-mana sukarelawan yang telah pun masuk ke negara ini.

“Golongan kanak-kanak merupakan kumpulan sasar kami…sebaiknya, pihak berkaitan turut merujuk jabatan atau agensi di bawah kementerian ini bagi memudahkan tindakan pemantauan terhadap sukarelawan terlibat.

“Menerusinya, kita bukan saja dapat mengenal pasti kedudukan mereka, tetapi juga dapat mengetahui program apa yang telah dilaksanakan para sukarelawan ini. Pihak kami juga akan bekerjasama agar kanak-kanak kita tidak dijadikan mangsa,” tegasnya.

Terdahulu, Azizah menyampaikan sumbangan kepada 20 penerima yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan kanak-kanak bersempena dengan bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Advertisement