Anda di sini

Kerajaan rugi RM4 bilion cukai jualan rokok seludup tidak dibayar

Advertisement

SIPITANG: Kegiatan penjualan rokok seludup di negara ini menyebabkan kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM4 bilion setiap tahun daripada hasil cukai penjualan rokok terbabit.

Perkara terbabit dinyatakan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili semasa Majlis Pelancaran Operasi Outlet V 3.0 Peringkat Negeri Sabah di sini, Jumaat lalu.

Katanya, secara purata, kerajaan merekodkan kerugian dalam jumlah yang besar melalui aktiviti penjualan dan penyeludupan rokok tanpa cukai setiap tahun.

“Aktiviti ini perlu diambil perhatian serius berikutan kajian yang dijalankan pihak industri rokok mendapati 36.9 peratus daripada rokok yang dijual di pasaran Malaysia pada tahun lalu adalah rokok seludup dan ianya menunjukkan peningkatan sebanyak 3.2 peratus berbanding hanya 33.7 peratus pada 2014.

“Bagi membasmi rangkaian pengedaran dan penjualan rokok seludup, Ops Outlet akan terus dijalankan kepada golongan peruncit dan pengedar sejak diperkenalkan pada 2010,” katanya.

Turut hadir semasa program ialah Pengarah Kastam Sabah Datuk Dr Janathan Kandok, Senator Datuk Jamilah Sulaiman, ADUN  Sindumin Datuk Ahmad Bujang, Timbalan Pengarah Kastam bahagian Penguatkuasaan Yunus Tahir dan Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat.

Matrang berkata, sejak Januari 2010 sehingga 31 April 2016, kira-kira 46.361 premis yang sudah diperiksa berdasarkan maklumat awam yang diterima dan dikumpulkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Kastam.

“Daripada jumlah yang diperiksa, 11,968 kes berjaya diperolehi dan kita berjaya membuat rampasan kira-kira 1.78 bilion rokok seludup yang bernilai RM147.60 juta dengan kadar cukai sebanyak RM907.85 juta.

“Setakat ini, kita merekodkan seramai 7,918 individu yang ditahan selepas dipercayai terbabit dalam penjualan dan pengedaran rokok seludup.

“Kira-kira 2,949 kes berjaya dibawa ke mahkamah dan seramai 712 individu yang didakwa mengikut masing-masing kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatat rekod tertinggi dengan mengumpul hasil sebanyak RM61.70 bilion pada 2015, berbanding RM26.51 bilion pada tahun 2014.

“Jumlah yang dikumpulkan termasuklah RM3.66 bilion atau 5.80 peratus adalah melalui hasil kutipan rokok yang dikenakan cukai iaitu hasil cukai kedua tertinggi selepas cukai kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan yang direkodkan adalah disebabkan kecekapan anggota dan pegawai Bahagian Penguatkuasaan Kastam dengan kerjasama agensi lain melalui Strategi Lautan biru Kebangsaan (NBOS).

Katanya, JKDM akan menunjukkan tindakan agresif terutamanya kes berkaitan penyeludupan rokok di negara ini.

Menurutnya, mana-mana peruncit yang didapati bersalah dalam menjalankan aktiviti penjualan rokok seludup akan didakwa mengikut Akta Kastam 1967 dan peruncit asing yang didapati mengedarkan rokok seludup akan didakwa mengikut Akta Anti Pemerdangangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Advertisement