Anda di sini

Jauhi kegiatan jejas imej Islam, kata Hajiji

Advertisement

TUARAN: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini telah merasmikan Seminar Cabaran Kepimpinan Islam Masa Kini Peringkat Daerah Tuaran 2016 yang telah diadakan di Dewan Auditorium, Masjid An-Nur, Tuaran.

Seminar sehari anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Tuaran itu telah dihadiri oleh lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada pengerusi jawatankuasa masjid dan surau dari seluruh Daerah Tuaran.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sulaman dalam ucapannya antara lain menasihatkan umat Islam supaya menjauhi dari kegiatan yang boleh menjejaskan imej Islam dari sudut pandangan masyarakat lain.

Beliau kemudian menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil peserta-peserta, Kanaan Abdul Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Masjid An-Nur Tuaran.

Di antara mereka yang hadir ialah Pegawai Daerah Tuaran AM Ibnu AK Baba, Setiausaha Politik kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Abdul Kassim Razali dan Pegawai JHEAINS Tuaran Siti Hairyani Yahya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Tuaran ASP Raji Hussin, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli Datuk Jahid Jahim dan Imam Daerah Sabli Latiff.

Dua penceramah telah memberi syarahan di seminar itu. Mereka ialah ASP Mahmood Mohd Mustahed yang memberi ceramah tentang isu-isu keselamatan masa kini dan seorang lagi wakil dari JHEAINS Kota Kinabalu yang memberi syarahan tentang ‘Penularan Ajaran Sesat’.

Menurut Siti Hairyani, objektif seminar itu antara lain ialah untuk memberi penjelasan kepada masyarakat tentang isu-isu keselamatan masa kini, menjelaskan isu-siu semasa Islam dan fahaman serta amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta meningkatkan kesedaran tentang kehidupan harmoni melalui penjelasan tentang penjagaan keselamatan masyarakat.

Advertisement