Anda di sini

37 masjid dan surau terima bantuan Parlimen Sepanggar

Advertisement

SEPANGGAR: Sebanyak 37 masjid dan surau di sekitar Sepanggar menerima sumbangan daripada Pejabat Parlimen Sepanggar.

Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris berkata, sumbangan yang diberikan adalah dalam bentuk air mineral dan juga wang tunai.

“Masjid akan menerima sumbangan wang tunai RM500 dan surau menerima bantuan RM300, sebanyak 30 kotak air mineral juga telah diedarkan kepada setiap masjid dan surau di kawasan Parlimen ini.

“Tujuan sumbangan dilakukan adalah untuk bersama-sama semarakkan musim Ramadan dan air mineral yang diberikan itu adalah untuk diminum mereka yang datang menunaikan sembahyang tarawih,” katanya kepada pemberita selepas dalam satu majlis sentuhan kasih Ramadan di sini kelmarin.

Beliau berkata, pejabat Parlimen Sepanggar sentiasa menghulurkan bantuan sepanjang tahun termasuklah membaiki masjid, surau dan membina surau baharu.

Katanya, baru-baru ini pejabatnya juga sedang menyiapkan sebuah surau baharu di Kampung Nalap dan ia adalah surau ke 21 yang dibina di kawasan Parlimen Sepanggar.

“Saya juga akan turun padang ke masjid dan surau sekitar di sini untuk bersama-sama masyarakat tempatan bagi menunaikan sembahyang tarawih sepanjang Ramadan ini.

“Saya menyeru kepada jawatankuasa dalam masjid atau surau agar duduk bersama dan berbincang mengenai kekurangan yang dihadapi,” katanya.

Dalam pada itu, Jumat juga ingin institusi masjid digunakan sebagai tempat untuk membangunkan modal insan selain memberikan pendidikan agama.

Katanya, satu dewan perlu diwujudkan dalam kawasan masjid berkenaan agar dewan itu dapat digunakan sebagai pusat tuisyen atau aktiviti berfaedah lain kepada masyarakat setempat.

“Saya juga menyeru imam di setiap masjid atau surau di sini memberikan penjelasan dan nasihat bernas kepada masyarakat dan golongan belia mengenai usaha positif kerajaan.

“Perbetulkan tindakan golongan yang selalu timbulkan isu-isu negatif sehingga menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat tempatan, contohnya isu hudud yang timbul baru-baru ini sehingga ramai dalam kalangan masyarakat bukan Islam keliru mengenainya.

“Katanya isu hudud tidak pernah wujud di sidang Parlimen dan apa yang sebenarnya berlaku adalah usaha memperkasakan undang-undang Syariah yang sedia ada,” katanya.

Advertisement