Anda di sini

Wanita lemas selepas bot bertembung

Advertisement

 Dua bot yang bertembung di Kampung Kasuapan, Pulau Gaya ditunda ke Jeti PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

MALANG: Dua bot yang bertembung di Kampung Kasuapan, Pulau Gaya ditunda ke Jeti PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

KOTA KINABALU: Seorang wanita tempatan yang tercampak ke laut disahkan meninggal dunia selepas terbabit dalam pelanggaran dua bot di Kampung Kasuapan, Pulau Gaya, di sini malam Rabu lalu.

Mangsa dikenali sebagai Kamariah Aminulla, 61, berasal dari Kampung Pulau Gaya, Kota Kinabalu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Queen Elizabeth selepas pelanggaran bot terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, pelanggaran dua bot berlaku kira-kira jam 11 malam pada 1 Jun lalu.

“Salah sebuah bot yang dalam perjalanan dari Kampung Kasuapan ke Kota Kinabalu dilanggar sebuah bot lain yang membawa 10 penumpang yang datang dari arah Kota Kinabalu.

“Impak pelanggaran menyebabkan semua penumpang termasuk juragan bot tercampak ke laut sebelum berjaya diselamatkan penduduk Kampung Kasuapan,” katanya.

Chandra berkata, seorang mangsa yang tidak sedarkan diri dan dipercayai lemas segera dikejarkan penduduk ke hospital.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan mayat mangsa akan dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Katanya, pihaknya menahan seorang suspek yang bekerja sebagai juragan untuk membantu siasatan dijalankan, manakala dua bot terbabit ditunda ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

Advertisement