Anda di sini

Lapan menara akan dibina untuk kemudahan penduduk pedalaman

Advertisement

TENOM: Lapan menara pemancar talian komunikasi yang baharu akan dibina di daerah ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Dato Jailani Johari.

Beliau berkata antara kawasan awal dikenal pasti ialah Kg Kapulu, Sumambu, Rundum, Rayoh, Penempatan Getah Lagud Seberang (LIGS), Maluyan Ulu, Gumisi Laut dan Bukit Layang-Layang Jalan Sipitang-Tenom.

“Kos bagi membina kesemua menara itu adalah melebih RM8 juta melalui peruntukan kementerian,” katanya ditemui sempena lawatan kerja rasmi di sini pada Rabu lepas.

Namun demikian katanya, walaupun tempat berkenaan telah dikenal pasti, ia bergantung kepada keadaan tanah untuk membina tapak menara kerana di pihak kementerian akan mengambilkira pelbagai aspek termasuk keselamatan.

Jelasnya, setakat ini, daerah Tenom telah mempunyai tujuh menara talian komunikasi yang sudah siap dipasang, yang mana pembinaan setiap menara memakan kos lebih RM1 juta.

“Saya dan beberapa rombongan termasuk para kakitangan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menaiki kereta api dari kota Kinabalu ke Beaufort dan apabila sampai di Batu 65 berdekatan Kg Saliwangan, Beaufort, mendapati talian komunikasi tiada di kawasan berkenaan.

“Oleh itu, pihak kementerian turut mencadangkan akan membina dua lagi menara talian komunikasi di kawasan Kg Saliwangan selepas kajian terperinci dilakukan bersama pihak berwajib,” katanya.

Jailani berkata dalam pembentangan bajet terdahulu yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi seluruh negara, adalah sejumlah seribu menara talian komunikasi baharu akan dibina di kawasan luar bandar secara berperingkat.

Katanya ia termasuklah di beberapa kawasan Parlimen Pensiangan yang belum mempunyai menara pemancar talian komunikasi.

“Dengan adanya pembinaan menara di kawasan yang tidak mempunyai sebarang talian komunikasi akan membolehkan mereka nanti menikmati talian telefon dan melayari internet berbanding sebelum ini,” katanya.

Tambah beliau, prasarana pembangunan talian komunikasi adalah seiring dengan penyediaan infrastruktur yang lain dan kementerian amat mengutamakan kemudahan itu kepada penduduk di luar bandar agar segala maklumat dasar-dasar kerajaan dapat diterima oleh penduduk.

Pada lawatan itu, Jailani turut melawat Pusat Internet Desa di Pejabat Pos dan Pusat Internet 1Malaysia di Kg Pamilaan serta Pejabat Radio Malaysia Keningaufm.

Dalam kesempatan itu, Jailani berkata pengwujudan pusat internet di setiap kawasan perkampungan telah memberi pelbagai manfaat kepada penduduk kampung di luar bandar dalam mempertingkatkan lagi pengetahuan mereka dalam pelbagai sudut.

Sebagai contoh katanya, dalam mengembangkan perniagaan secara online, mempromosikan produk pelancongan dan sebagainya yang mana secara tidak langsung memberi pendapatan sampingan kepada mereka.

“Pihak kementerian berharap pengwujudan pusat Internet itu dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat untuk kebaikan bersama dan bukan menyalahgunakan kemudahan yang diberi,” katanya.

Advertisement