Anda di sini

Agih tugas domestik, ubah amalan tradisi, kata Jainab

Advertisement

KOTA KINABALU: Dalam usaha menyeimbangkan peranan dan tanggungjawab kaum lelaki dan wanita, kaum bapa disaran agar mengikis amalan tradisi seperti meletakkan tanggungjawab mengurus rumah sepenuhnya kepada wanita.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, tugas domestik di rumah perlu dibahagi sama rata antara lelaki dan wanita tanpa mengira gender kerana kebanyakan wanita hari ini turut mempunyai kerjaya sendiri.

Budaya kehidupan masyarakat dahulu yang memandang rendah terhadap kedudukan wanita perlu diubah kerana wanita hari ini bukan lagi setakat di dapur sebaliknya, wanita turut menyumbang kepada pembangunan negara.

“Atas sebab itu, usaha memberi pendedahan tentang kesaksamaan gender ini perlu bermula dari rumah supaya apabila anak-anak muda menjadi dewasa, mereka sudah memahami kesamarataan antara lelaki dan wanita,” katanya.

Beliau berkata lelaki dan wanita perlu saling memahami bahawa gandingan tugas dan tanggungjawab kedua-dua gender itu diperlukan dalam pembangunan dan kehidupan.

Jainab turut meletakkan harapan agar Modul Pembangunan Keluarga dari Perspektif Keluarga dan Masyarakat dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan ‘Bengkel Kesaksamaan Gender dalam Pembangunan Keluarga, Komuniti dan Negeri’ serta melancarkan sambutan Hari Bapa peringkat Negeri Sabah di Kompleks Kerajaan Persekutuan, di sini kelmarin.

Bengkel itu adalah anjuran Yayasan Pengurusan Ilmu dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Jainab berkata, bagi meningkatkan penglibatan pelbagai pihak dalam memperjuangkan kesaksamaan gender ini, sudah tiba masa untuk kerajaan dan pakar akademik melaksanakan kursus dan bengkel keprihatinan gender untuk pegawai, pembuat dasar dan pelaksana projek kerajaan.

Mengenai bengkel itu, Jainab berharap agar peserta yang terdiri daripada kakitangan kerajaan yang menghadiri bengkel itu akan lebih memahami konsep gender dan meningkatkan usaha menerajui kesaksamaan gender dalam pembangunan.

Beliau berkata, tidak dinafikan jurang antara lelaki dan wanita pada masa kini masih wujud terutama dalam memegang jawatan dalam kerajaan dan pembayaran gaji.

“Atas sebab itu, usaha dan kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam merapatkan jurang antara lelaki dan wanita ini,” katanya.

Sementara itu, melihat gejala sosial yang berlaku disebabkan penglibatan masyarakat dengan budaya meminum alkohol, Jainab menyarankan agar ibu bapa menjadi teladan yang baik kepada anak-anak.

Katanya, biarpun budaya minum alkohol itu sudah sebati dengan segelintir kaum, namun ia tidak seharusnya menjadi budaya kepada anak-anak muda yang masih bersekolah.

Budaya tidak sihat sebegini perlu dijauhi agar masalah gejala sosial dapat ditangani dan dikurangkan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pengurusan Ilmu Jamaludin Nawi, Pengarah LPPKN Sabah Nurfarhana Lee Mohd Zulkiflee Lee dan Presiden Persatuan Jururawat Sabah Tomblow Ngadiran.

Advertisement