Anda di sini

Tiada kompromi aspek keselamatan

Advertisement

SANDAKAN: Kerajaan tidak akan memandang ringan terhadap aspek keselamatan terutama berkaitan jeti tanpa permit yang dibina operator penginapan dan chalet yang berisiko digunakan oleh musuh sebagai pintu masuk.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menggesa pihak berkaitan untuk mendapatkan kebenaran daripada pasukan keselamatan dan juga Pejabat Daerah sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan jeti.

Bercakap kepada media selepas melakukan lawatan di beberapa lokasi dalam kawasan ESSZone baru-baru ini, beliau memberitahu telah melihat pemilik tanah persendirian di beberapa pulau yang mempunyai chalet dan jeti tanpa kebenaran dari Pejabat Daerah dan ESSCom.

“Operator terlibat perlu sedar jeti hanya boleh dibina dengan kebenaran kerana kemudahan itu boleh disalahgunakan pihak tertentu.

“Mengambil contoh sebuah chalet di Pulau Mataking yang membina jeti tanpa kebenaran. Selain itu, terdapat juga pekerja asing bekerja di situ,” katanya sambil menambah pihak Pejabat Daerah akan mengadakan lawatan semula ke kawasan terlibat untuk mencegah pembinaan jeti tanpa permit.

Menurut beliau jeti yang dibina memerlukan permit selain boleh digunakan oleh penduduk setempat.

“Saya diberitahu beberapa jeti persendirian yang dibina oleh operator chalet tidak boleh digunakan oleh penduduk.

“Oleh itu, saya memberi cadangan kepada pasukan keselamatan untuk membina lebih banyak jeti yang membawa manfaat kepada penduduk,” tambahnya.

Sementara itu, Shahidan turut menasihatkan penduduk di kawasan pantai agar tidak membina monumen atau rumah di kawasan terumbu karang.

Terumbu karang perlu dipelihara kerana ia boleh menjadi tarikan pelancong sekali gus memberi peluang ekonomi kepada penduduk dari segi industri pelancongan.

 

 

Advertisement