Anda di sini

Status Anak Negeri: Kajian menyeluruh perlu dijalankan

Advertisement

 Presiden MHEANS Datuk Mohamad Alamin (dua kanan) menyampaikan cenderahati kepada Hajiji.

TERIMA KASIH: Presiden MHEANS Datuk Mohamad Alamin (dua kanan) menyampaikan cenderahati kepada Hajiji.

KOTA KINABALU: Kajian menyeluruh diperlukan bagi memastikan keputusan berkaitan status Anak Negeri tidak mendatangkan masalah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor berkata sehingga kini kerajaan masih membekukan pengeluaran Sijil Anak Negeri.

Bagaimanapun jelasnya, mereka yang mempunyai urusan melibatkan status Anak Negeri terutamanya berkaitan dengan tanah adat akan dibantu mengikut kes.

“Pemohon boleh mendapat pengesahan dari Mahkamah Anak Negeri (MAN) dan Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS).

“Selepas perakuan dibuat oleh kedua-dua institusi ini, kita akan menulis surat kepada jabatan atau agensi kerajaan yang berkenaan.

“Tindakan ini bagi membolehkan pemohon berurusan jika melibatkan statusnya sebagai Anak Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Bengkel Sehari Pemurnian Status Anak Negeri, di sini kelmarin.

Hajiji berkata pembatalan untuk pembekuan berkenaan setakat ini masih belum diputuskan bila.

Pihaknya akan membuat satu kertas Kabinet kepada kerajaan negeri sekiranya keputusan pembatalan berkenaan sudah dibuat.

Selain itu jelasnya, perkahwinan campur dengan Anak Negeri juga antara faktor yang menyebabkan status Anak Negeri menjadi lebih rumit untuk diselesaikan.

“Kita perlu mencapai satu keputusan sehingga peringkat mana dalam perkahwinan campur itu yang membolehkan seseorang itu dianggap sebagai Anak Negeri.

“Sehubungan itu, menerusi bengkel ini kita amat memerlukan pandangan daripada semua pihak terutamanya ketua-ketua adat, pakar perundangan mahu pun masyarakat.

“Ini kerana terlalu banyak penyalahgunaan Sijil Anak Negeri sebelum ini hingga kerajaan terpaksa membekukan pengeluarannya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan berusaha menjalankan pemurnian seperti bengkel berkenaan bagi memastikan hanya golongan yang betul-betul layak dapat memperolehi sijil atau status Anak Negeri.

Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji mengingatkan kepada semua ketua adat terutamanya ketua daerah, ketua anak negeri dan ketua kampung supaya memiliki sifat kepimpinan yang tegas dan komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu ada kejujuran dan integriti yang kukuh agar mereka tidak mudah terpedaya dan terjerumus dalam kegiatan yang merugikan.

“Masyarakat dan situasi sekarang ini memerlukan pemimpin yang mempunyai ketahanan mental dan stamina untuk betugas.

“Ketua-ketua adat perlu menumpukan taat setia kepada kerajaan dan komitmen sepenuhnya terhadap tugas serta tanggungjawab,” katanya.

 

 

Advertisement