Anda di sini

Lelaki kekal pengakuan tidak bersalah tuduhan salah guna cek

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistrret di sini, menetapkan pada 20 Julai tahun ini sebagai tarikh perbicaraan, terhadap seorang lelaki yang didakwa atas lima pertuduhan menyalahgunakan cek secara curang.

Majistret Stephanie Sherron Abbie membuat keputusan itu terhadap Raj Shariff Benjamin Shah, 29, selepas mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Kelmarin adalah untuk pengurusan kes terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa secara curang menggunakan cek milik sebuah sekolah agama rakyat, masing-masing bernilai RM2,553, RM5,000 dan RM6,070.

Kesalahan dilakukan pada 26 November, 9 dan 13 Disember 2013 antara jam 10.14 pagi hingga 3.44 petang, di Bank Islam Malaysia Cawangan Kota Kinabalu, Jalan Perpaduan, di sini.

Keempat dan kelima, Raj Shariff dituduh dengan menggunakan cek sekolah agama rakyat terbabit, bernilai RM5,600 dan RM5,875.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 dan 13 Mac 2014 antara jam 12.10 tengah hari dan 2.06 petang, di tempat sama.

Sekiranya disabitkan bersalah mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan penjara antara tempoh enam bulan hingga lima tahun, dan boleh dikenakan sebatan, atau denda.

Dalam mahkamah berasingan, Majistret Jessica Ombou Kakayun mengenakan denda terhadap enam lelaki yang memandu kenderaan dengan lesen tamat tempoh.

Kong Vui Ken dan Yong Kong Fah didenda sebanyak RM700 atau penjara tiga minggu.

Fraxer Jupakal, Chung Hsiao Wei, Razzidin Robert dan Roderik Majikun masing-masing didenda sebanyak RM350 atau penjara dua hari.

Semua tertuduh mengaku bersalah menggunakan lesen yang tamat tempoh antara 27 Februari 2014 hingga 4 Mac tahun ini.

Sementara itu, seorang pemandu lori Joseph Wilhimos didenda sebanyak RM1,500 atau penjara dua hari, selepas mengaku bersalah memandu kenderaan dengan lebihan muatan.

Manakala pengurus syarikat P.N Heavy Mechinery Logistic Sdn.Bhd, juga dikenakan denda sama selepas mengaku bersalah membenarkan pekerjanya Joseph memandu kenderaan terbabit.

Pendakwaan berkenaan dilakukan pegawai pendakwa dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

 

Advertisement