Anda di sini

CUEPACS mahu kerajaan kaji semula dasar pengiraan pendapatan bagi pinjaman rumah

Advertisement

KOTA KINABALU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mengkaji semula dasar pengiraan pendapatan bagi pembiayaan pinjaman perumahan untuk memudahkan dan melayakkan penjawat awam membeli rumah.

Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda berkata, kajian semula itu termasuk mengambil kira elaun-elaun tetap sebagai sebahagian gaji dalam pengiraan pendapatan bagi pembiayaan perumahan sama ada melalui pinjaman kerajaan atau bank.

“Ini kerana, hari ini, hanya gaji pokok sahaja diambil kira dalam pengiraan pendapatan untuk membuat pinjaman rumah. (Ini akan menyebabkan) ramai penjawat awam tidak mampu untuk membeli rumah.

“Jika elaun tetap diambil kira, (ia akan membantu) penjawat awam terutama yang baharu disahkan jawatan untuk membuat pinjaman rumah dan mungkin pinjaman sudah selesai di akhir perkhidmatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan CUEPACS Sabah di sini semalam.

Azih berharap kerajaan akan melihat perkara itu kerana dikhuatiri ramai penjawat awam terutama di Sabah dan Sarawak tidak layak untuk membeli rumah memandangkan harga rumah yang semakin mahal di negeri terbabit. — Bernama

 

Advertisement