Anda di sini

Program kebudayaan sokong usaha kerajaan Sabah satukan rakyat

Advertisement

PENAMPANG: Penganjuran program kebudayaan seperti Pesta Kaamatan atau pesta menuai menyokong usaha kerajaan Sabah untuk menyatukan rakyat di negeri berkenaan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata program seperti itu memberi peluang kepada rakyat untuk mengeratkan hubungan, memahami dan menghormati adat dan budaya kaum masing- masing.

“Dalam konteks kerajaan negeri, kita akan sentiasa memberi sokongan padu kepada sambutan program-program kebudayaan kerana kita yakin dan percaya bahawa program-program ini mampu mengukuhkan lagi perpaduan masyarakat yang menjadi tulang belakang kepada keamanan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Mengenai Pesta Kaamatan yang disambut secara tradisi oleh masyarakat Kadazandusun Murut setiap 30 dan 31 Mei, Musa berkata perayaan itu sentiasa berjaya menghimpun masyarakat daripada pelbagai kaum dan etnik yang mengambil kesempatan cuti umum negeri ini untuk meluangkan masa bersama rakan dan keluarga meraikan pesta itu.

“Inilah contoh dan adunan terbaik yang menjadi model masyarakat majmuk yang harmoni dan erat dan seharusnya dijayakan oleh semua pihak tanpa terhad kepada batasan politik untuk kesejahteraan masyarakat keseluruhan.

Saya berharap Pesta Kaamatan ini akan terus memberi inspirasi dan kekuatan kepada kita semua untuk terus bersatu dan memantapkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran rakyat Malaysia, khususnya di Sabah,” katanya.

Musa yakin kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dan pelancong dari dalam dan luar negara pada perayaan itu membuktikan Pesta Kaamatan melambangkan semangat persaudaraan, persahabatan, kekitaan dan perpaduan.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Sabah supaya sentiasa menyokong usaha kerajaan membangun dan memajukan negara dengan jayanya. — Bernama

Advertisement