Anda di sini

Tabung Pendidikan akan dilancar

Advertisement
 Sapawi (tiga kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang murid pada majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat Parlimen Sipitang di SMK Pangiran Omar 2, kelmarin.

CEMERLANG: Sapawi (tiga kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang murid pada majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat Parlimen Sipitang di SMK Pangiran Omar 2, kelmarin.

Menyediakan lebih banyak peluang untuk melanjutkan pelajaran

SIPITANG : Tabung Pendidikan Negeri Sabah yang dijangka akan dilancarkan hujung tahun ini dilihat dapat memberi lebih banyak peluang kepada pelajar di negeri ini untuk melanjutkan pengajian dalam dan luar negara.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad berkata, pelancaran tabung itu akan merangkumi pembiayaan membabitkan biasiswa, derma siswa dan pinjaman pendidikan kepada anak-anak tempatan.

Jelas beliau, tabung terbabit yang dijangka akan dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman akan memperolehi dana disalurkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai khidmat sosial dalam pembangunan pendidikan di Sabah.

“Situasi ketika ini menunjukkan peningkatan lebih ramai pelajar cemerlang, namun peluang pembiayaan agak terhad dan hanya melibatkan tiga pihak iaitu kerajaan negeri, Yayasan Sabah dan Baitulmal Negeri Sabah.

“Sehubungan itu, penubuhan tabung ini dilihat mampu memenuhi permintaan lebih ramai pelajar cemerlang, termasuk membuka peluang lebih luas kepada anak tempatan khususnya di kawasan luar bandar untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat Parlimen Sipitang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangiran Omar 2, kelmarin.

Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Kamarlin Ombi (ADUN Lumadan), ADUN Sindumin Datuk Ahmad Bujang dan Pegawai Pendidikan Daerah Sipitang Abdul Razak Karim

Seramai 278 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diraikan di program tahunan itu.

Terdahulu, Sapawi yang juga Ahli Parlimen Sipitang dalam ucapannya menasihatkan bakal graduan supaya memilih jurusan yang dapat memberikan peluang pekerjaan sejurus tamat pengajian.

Beliau berkata, ia penting bagi mengelak pengangguran kerana ramai bakal graduan tidak mendapat maklumat tepat berkaitan bidang-bidang baru yang mempunyai prospek kerjaya lebih luas untuk memenuhi tuntutan pekerjaan.

“Justeru, setiap pelajar perlu membuat kajian dan perancangan awal pemilihan jurusan yang dapat menjamin peluang pekerjaan selepas tamat pengajian, sekali gus mengelak pengangguran,” katanya.

Advertisement