Anda di sini

Rakyat jangan keliru, media perlu lapor yang sahih: Salleh

Advertisement

KOTA KINABALU: Pengamal media tempatan diingatkan supaya sentiasa menyampaikan maklumat tepat, manakala rakyat pula jangan keliru dengan pelbagai isu semasa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak.

Katanya, masyarakat perlu berhati-hati kerana ada pihak media menyiarkan berita yang belum lagi diketahui kesahihannya sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Beliau mengambil contoh mengenai isu yang mengatakan sudah terdapat akta atau undang-undang hukuman hudud dibentangkan di Parlimen.

Katanya, apa yang sebenarnya berlaku adalah sekadar usul persendirian yang dibentang untuk memperkasa undang-undang syariah sedia ada.

“Usul yang dikemukakan adalah bukan usul kerajaan, sebaliknya usul persendirian. Dalam sistem demokrasi yang kita amalkan, kita membenarkan usul persendirian dikemukakan.

“Bagaimanapun, terpulang kepada kesesuaiannya untuk diberikan peluang untuk membentangkan usul persendirian itu ataupun tidak,” katanya ketika melancarkan secara rasmi siaran Bernama Radio menerusi frekuensi FM107.9 di sini kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang Datuk Zakaria Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussein.

Salleh berkata, satu perkara lagi yang menjadi isu baru-baru ini ialah tuntutan bakal presiden baharu Filipina ke atas negeri Sabah.

Katanya, tuntutan itu sudah tidak relevan memandangkan rakyat Sabah sejak kemerdekaan telah memilih untuk bersama dengan Malaysia dan tidak pernah mengiktiraf apa jua tuntutan.

Menurutnya, perkara itu sudah menjadi kebiasaan dalam politik di negara berkenaan kerana apabila terdapat seorang presiden baharu, presiden itu kebiasaannya akan membangkitkan perkara sama untuk mendapat sokongan rakyatnya.

“Dalam konteks ini, pengamal media khususnya Bernama perlu memainkan peranan penting dalam menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat kita.

“Kita bukan sahaja memerlukan berita yang pantas dan tepat, tetapi juga dikehendaki menggunakan bahasa yang mudah difahami agar tidak mengelirukan rakyat,” katanya.

Katanya, walaupun wujudnya media baharu yang menjadi saingan kepada industri penyiaran, namun ia tidak mematahkan semangat stesen konvensional untuk terus bergerak aktif dengan matlamat masing-masing, sama ada yang berorientasikan hiburan atau maklumat dan berita seperti Bernama Radio.

Advertisement