Anda di sini

‘Pondok Kesukaanku’ SK Ulu Muanad galakkan Program Nilam

Advertisement

BELURAN: ‘Pondok Kesukaanku’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Muanad di sini telah dilancarkan dengan rasminya di sekolah berkenaan baru-baru ini.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh wakil Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Beluran yang juga Pegawai Unit Pengurusan Akademik (Bidang Matematik/Sains) Noor Ashikin Mat Shoib.

Guru Besar SK Ulu Muanad Majin Bulat berkata, pondok yang dibina dalam pekarangan kawasan sekolah itu adalah hasil cetusan idea Penolong Kanan 1 SK Ulu Muanad Denis Raji dan Norain Abu Bakar selaku Guru Perpustakaan dan Media Pusat Sumber SK Ulu Muanad.

Katanya, program Pondok Kesukaanku merupakan salah satu projek di bawah program NPQEL, Institut Aminudin Baki (IAB) yang bertujuan untuk menggalakkan Program Nilam sekolah dan memberikan info atau maklumat berkaitan pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

“Pondok ini dibina untuk membantu meningkatkan penguasaan murid dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris melalui program Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2011,” katanya.

Majin menjelaskan, terdapat dua buah pondok yang dibina dengan setiap pondok menempatkan buku-buku atau bahan bacaan dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris.

Menurutnya, bahan atau buku-buku bacaan diletakkan di pondok tersebut untuk bacaan para pelajar dan ia disediakan oleh pihak pengurusan Pusat Sumber SK Ulu Muanad yang diterajui oleh Norain.

Sementara itu, Denis menjelaskan, pembinaan Pondok Kesukaanku merupakan hasil kerjasama semua warga SK Ulu Muanad serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Idea membina pondok tersebut tercetus apabila beliau diminta oleh pihak IAB untuk menyiapkan satu projek yang boleh memberi impak kepada pihak sekolah dari aspek peningkatan pembelajaran murid dan penglibatan komuniti setempat dalam usaha memasyarakatkan pendidikan.

Projek pembinaan pondok tersebut merupakan salah satu tugasan yang perlu dibuat oleh Denis dalam proses menyiapkan pengajian beliau dalam program NPQEL anjuran IAB iaitu kursus khas selama enam bulan yang mesti diikuti sebelum seseorang guru dilantik ke jawatan pemimpin sekolah (guru besar).

Berucap pada majis itu, Noor Ashikin memuji inisiatif dan komitmen tinggi guru-guru dan pihak PIBG sekolah itu yang sentiasa berganding bahu dan bekerjasama rapat dalam menjayakan apa jua program atau majlis yang dilaksanakan di sekolah itu.

Katanya, program seumpamanya juga amat menepati dan selaras dengan anjakan ke-9 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 iaitu ‘bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas’ untuk membantu menjayakan apa jua program demi kepentingan bersama ke arah mencapai matlamat dan perjuangan membina negara bangsa dalam konteks pendidikan.

Menurutnya, usaha membina Pondok Kesukaanku pastinya menarik perhatian murid kerana selain di Pusat Sumber Sekolah (PSS), pondok berkenaan menyediakan pelbagai bahan rujukan dan maklumat yang berguna khususnya kepada para pelajar dalam suasana terbuka di luar bilik darjah.

Advertisement