Anda di sini

Pameran Seni Inspirasi Alam platform pamer bakat anak muda kepada dunia luar

Advertisement

KOTA KINABALU: Tidak ingin melihat bakat anak muda yang pernah mengikuti kursus seni di Kolej Yayasan Sabah (KYS) sebelum ini terkubur begitu sahaja, Universiti Kolej Yayasan Sabah (UCSF) mengambil langkah memilih enam pelukis terbaik untuk mempamerkan karya mereka buat pertama kali di Galeri Seni Inspirasi Alam UCSF.

Pengarah Institut Penyelidikan Borneo Prof Dr Junainah Sulaiman berkata, usaha itu diambil bagi memberi peluang kepada anak muda yang datang dari keluarga yang miskin ini untuk menonjolkan bakat mereka kepada dunia luar.

Beliau percaya melalui pameran seni sedemikian, ia akan memperkenalkan nama anak-anak muda itu dalam industri seni lukis tempatan.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Pameran Seni Berkumpulan ‘Inspirasi Alam’ di Galeri Seni Inspirasi Alam UCSF, di sini kelmarin. Majlis itu dirasmikan oleh Pengurus Balai Seni Lukis Sabah Jennifer P Linggi.

Junainah berkata pameran itu sebagai permulaan untuk anak-anak muda yang berbakat mengorak langkah memulakan kehidupan seni di luar. Ia kerana selepas ini, keenam-enam mereka akan mencari nafkah kehidupan sendiri berdasarkan karya yang dihasilkan tanpa ada bantuan sesiapa.

“Diharapkan segala ilmu yang dipelajari sepanjang mereka berada di UCSF selama dua tahun (2014-2016) ini akan dimanfaatkan sepenuhnya apabila mereka bergerak secara solo pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 50 karya seni lukisan dipamerkan di Galeri Seni Inspirasi Alam UCSF itu bermula dari kelmarin sehingga 31 Mei dan disambung semula pada 9-30 Jun.

Mengenai pemilihan anak-anak muda berkenaan, Junainah berkata daripada berpuluh pelajar yang mengikuti kursus seni di KYS, hanya enam yang terbaik terpilih untuk menjadi pelukis di galeri UCSF dan seterusnya mempamerkan karya lukisan di galeri berkenaan.

Melalui pameran sedemikian, beliau melihat ia akan membuka ruang kepada perintis Galeri Seni Inspirasi Alam itu untuk membina jaringan dengan penggiat seni lain dalam dunia lukisan agar ia memudahkan mereka untuk mengadakan pameran pada masa depan.

“Mereka agak gementar kerana selama ini kita didik dan pegang mereka dan menyediakan segala kemudahan untuk mereka gunakan. Namun, selepas ini mereka akan bergerak secara sendiri.

“Akan tetapi, saya yakin kesemua mereka ini cukup bersedia untuk berdepan dengan dunia luar. Walaupun agak gementar tapi, kita akan bantu anak-anak muda ini membina jaringan dengan penggiat industri seni lain.

“Melalui kejayaan anak-anak muda ini, ia akan mempromosikan UCSF kepada orang luar yang berminat untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang seni lukis,” jelasnya.

Sementara itu, Jennifer berkata untuk bertahan dalam bidang seni lukis, pelukis yang baru berjinak-jinak dalam bidang seni berkenaan perlu tampil dengan mesej dan identiti tersendiri.

Katanya, tanpa identiti sendiri, sukar untuk masyarakat di luar sana mengenali dan menghargai karya seni lukis yang dihasilkan.

“Seni bukan sekadar melukis dan mencantikkan dinding. Seni itu perlu membuatkan orang berfikir tentang mesej yang ingin disampaikan apabila melihat sesebuah karya seni lukis. Seni yang baik adalah karya yang membuatkan orang berfikir,” katanya.

Beliau juga mengingatkan pelajar dan perintis galeri seni itu agar tidak takut untuk menjadi lain daripada orang lain kerana seni itu memang memerlukan kelainan.

Dalam pada itu, Jennifer juga menyarankan pelukis muda di negeri ini agar menggunakan persekitaran sedia ada dalam menghasilkan lukisan yang melambangkan identiti Sabah.

Advertisement