Anda di sini

Anggota polis disaran amal gaya hidup sihat supaya lebih produktif

Advertisement

SANDAKAN: Seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini disaran agar mengamalkan gaya hidup sihat dengan mementingkan penjagaan kesihatan supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih produktif dan efisien.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, dalam kesibukan melaksanakan tugas menjaga keamanan, tahap kesihatan diri perlu diberi perhatian oleh setiap anggota.

Beliau berkata, amalan budaya hidup sihat itu juga perlu disokong dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan bagi menjamin ketahanan fizikal dan kesihatan selaras dengan konteks memperkasakan warga kerja aktif dan sihat.

“Walaupun sering menghadapi bebanan dengan tugasan yang meningkat namun penjagaan kesihatan sewajarnya dititikberatkan oleh anggota untuk bebas dan mencegah diri daripada sebarang penyakit memudaratkan.

“Jika perkara ini dapat dipraktikkan, saya yakin ia mampu melahirkan warga polis yang bertenaga, sihat dan mampu meningkatkan produktiviti serta mutu perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada Karnival Fit & Fun Day sempena Hari Peringatan Polis ke-209 di gelanggang futsal IJM Batu 6, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Bahagian Pentadbiran Daerah DSP Sharul Datuk Abdul Wahab, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah, Keselamatan dan Komuniti Daerah DSP Malek Dolusin, anggota PERKEP, penjawat awam IPD dan anak-anak polis.

Sementara itu Zabidi menambah, semua anggota polis perlu terus aktif dalam aktiviti sukan bagi meningkatkan kecergasan fizikal dan kesihatan mereka.

“Aktiviti sukan penting dalam mengoptimumkan keupayaan fizikal pasukan keselamatan itu sekali gus bertepatan dengan ungkapan ‘minda yang cerdas terletak pada tubuh yang sihat,” katanya.

“Saya berharap aktiviti-aktiviti ini dapat dijalankan di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah bagi meningkatkan kecergasan dan kesihatan warga PDRM,” katanya.

Beliau menjelaskan aktiviti sukan juga memainkan peranan penting bagi melahirkan anggota yang sihat, cergas dan produktif sekali gus memberi sumbangan kepada kesejahteraan sosial dan pembangunan ekonomi negara. — Bernama

Advertisement