Anda di sini

Usahawan IKS perlu tingkat kualiti produk untuk hadapi persaingan

Advertisement

 Juhari (dua kiri) melihat produk yang dihasilkan oleh para peserta sambil diberi penerangan oleh Azlinah.

TINGKATKAN KUALITI: Juhari (dua kiri) melihat produk yang dihasilkan oleh para peserta sambil diberi penerangan oleh Azlinah.

SANDAKAN: Usahawan Kecil dan Sederhana (IKS) perlu tingkatkan kualiti produk tempatan mengikut piawaian antarabangsa.

Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Kolonel (K) Datuk Juhari Janan berkata dengan meningkat kualiti produk pasti akan memastikan produk tempatan dapat dipasarkan dan bersaing di peringkat antarabangsa.

“Pembangunan pasaran produk makanan IKS ini perlu diberi penekanan agar produk tempatan menembusi pasaran luar negara,” katanya.

Katanya antara masalah yang perlu diatasi dalam menepati kualiti makanan ialah cara barangan dipersembahkan dan pembungkusan perlu disertakan kandungan bahan yang digunakan serta mempunyai tarikh luput produk itu.

“Para pengeluar produk makanan perlu lebih kreatif dalam menghasilkan bahan makanan dengan sentiasa mempelbagaikan produk yang dikeluarkan,” katanya ketika merasmikan Kursus Memproses Makanan anjuran Jabatan Pertanian di Kampung Tanjung Aru, di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Juhari meminta Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan termasuk MARDI dan FAMA agar terus membantu usahawan IKS dalam meningkatkan kualiti produk mereka.

Katanya perlu melihat kepada aspek pembungkusan yang bersesuaian kepada permintaan generasi masa kini dalam bentuk siap dimasak dan dalam bentuk pakej yang kecil.

Beliau berkata Kampung Tanjung Aru sememangnya terkenal dengan hasil makanan laut.

“Produk hasil makanan laut ini dilihat hanya dipasarkan di beberapa daerah terutamanya di Sandakan. Kita mahu pasaran produk makanan laut Tanjung Aru ini dapat menembusi pasaran di Malaysia melalui produk yang berkualiti,” katanya.

Beliau juga mahu Jabatan Pertanian terus membantu dalam mempromosikan produk IKS di pasar raya sebagai promosi dan memperkenalkan barangan IKS kepada pengguna tempatan.

Mengenai kursus itu, Juhari berkata kursus sedemikian sudah kerap diadakan dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan membantu peserta yang kebanyakannya wanita meningkatkan ekonomi keluarga.

“Kita mahu peserta yang berpeluang menyertai kursus seumpama ini agar dapat memanfaatkan apa yang dipelajari bagi meningkatkan sumber ekonomi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata objektif pihak kerajaan mengadakan kursus seperti itu adalah untuk melahirkan usahawan yang menceburi secara serius dalam perniagaan memproses makanan sekali gus menghasilkan produk makanan berkualiti agar dapat dipasarkan.

“Pelbagai agensi termasuk Jabatan Pertanian sentiasa membantu dalam memastikan usahawan kecil berjaya,” jelasnya.

Seramai 20 orang menyertai kursus itu yang diadakan selama dua hari di kampung berkenaan.

Turut hadir, Pegawai Pertanian Kanan Sandakan Balasius @Yus Duasa, Penolong Pegawai Pertanian Kanan Sandakan Junaidah Mohamad,

Penolong Pegawai Pertanian Michael Ibau, Pembantu Pembangunan Masyarakat Jabatan Pertanian Azlinah Sapli, Ketua Peserta Kampung Tanjung Aru Sariah Danan dan Imam Kampung Tanjung Aru Iman Haji Jumaat Miasin.

 

Advertisement