Anda di sini

KPM beri kuasa untuk jawab isu

Advertisement

KOTA KINABALU: Guru besar dan pengetua diberi kuasa oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjawab sebarang isu di sekolah.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Ahmad Tajudin Jab berkata selain pihak berkenaan, KPM turut memberi kuasa kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Langkah berkenaan jelasnya, bagi menggalakkan pihak berkenaan terutamanya sekolah untuk lebih mesra media.

Katanya, kuasa yang diberikan itu juga bagi membolehkan lebih banyak liputan aktiviti pendidikan disiarkan oleh media.

“Kita banyak menjalankan aktiviti terutamanya di sekolah. Tetapi disebabkan tidak mesra media, kebanyakan aktiviti berkenaan tidak mendapat liputan.

“Saya juga berharap media dapat membantu meningkatkan kualiti pendidikan melalui input-input baik yang disediakan pihak pendidikan,” katanya.

Ahmad Tajudin berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Tahun 2015, di sini kelmarin.

Dalam pada itu, pihaknya turut menggalakkan budaya membaca dalam kalangan guru kerana ia penting untuk membina ilmu golongan pendidik.

Menurutnya, tanpa membaca, guru tidak akan dapat membuka dan meningkatkan minda untuk berkongsi ilmu menerusi pembacaan.

“Dengan berkongsi ilmu, kita boleh memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam dan lebih banyak idea dapat dihasilkan.

“Guru juga perlu mewujudkan satu suasana pembelajaran dan membina kemahiran pengetahuan secara dalaman,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 259 kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah terdiri daripada pegawai kumpulan pengurusan dan profesional, kumpulan sokongan dan pelbagai peringkat jawatan dalam kumpulan pelaksana dipilih menerima APC.

Ahmad Tajudin berkata anugerah berkenaan adalah penghargaan kerajaan atas pencapaian yang melonjakkan kualiti pendidikan di Sabah.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Maimunah Suhaibul.

 

 

Advertisement