Anda di sini

Sejarah kampung-kampung di daerah Lundu dibukukan

Advertisement

KUCHING: Minat mendalam terhadap sejarah tempatan dan bandar-bandar bersejarah menarik inisiatif Azmi Bujang menulis buku bertajuk ‘The Story Behind the Villages in Lundu District’ (Kisah di Sebalik Perkampungan di Daerah Lundu).

Azmi yang merupakan setiausaha sulit Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, berkata beliau mula menulis buku tersebut pada 2011 dan mengambil masa agak lama untuk menyiapkannya kerana kekangan tugas rasmi serta pengumpulan maklumat.

Buku yang menghimpunkan nama-nama kampung itu menceritakan sejarah kewujudan 80 daripada 99 kampung yang terdapat di daerah Lundu termasuk daerah kecil Sematan.

Menurutnya baki kampung tidak dihimpunkan di dalam buku itu kerana ia mempunyai nama yang sama sebagai contoh Kampung Seleng terbahagi kepada kawasan Melayu dan Dayak.

Lundu katanya, memainkan peranan penting dalam sejarah awal Sarawak yang wujud sebelum era pemerintahan keluarga Brooke lagi.

“Lundu termasuk daerah kecil Sematan mempunyai keluasan kira-kira 1,916km persegi dengan anggaran penduduk sekitar 37,000 dan ia telah wujud lebih seribu tahun lalu.

“Buku sejarah ini mengkhusus kepada sejarah kampung-kampung di Lundu adalah cetusan minda saya yang bersandarkan pelbagai pengalaman ketika bertugas sebagai pegawai daerah Lundu  hampir lima tahun (2008-2013),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis pelancaran buku itu yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di sebuah hotel di sini, semalam.

“Mungkin ramai rakyat negeri ini belum mengenali kampung-kampung di daerah Lundu malah tidak mengetahui asal usul kampung di sini mendapat nama.

“Saya mendapati kebanyakan kampung di daerah Lundu mendapat nama sempena nama pokok terdapat di daerah itu, malah ada yang dinamakan mengikut sejarah penghijrahan masyarakat dari satu tempat ke satu tempat,” jelasnya.

Azmi menambah, paling menarik terdapat kampung-kampung mendapat nama daripada seseorang yang berpengaruh atau tersohor mula-mula menetap di sesuatu kawasan sebagai contoh Kampung Bajo.

“Kampung Bajo terletak di antara Sungai Batu Cina dengan Kampung Pandan. Menurut cerita orang tua yang masih hidup sehingga sekarang, suatu ketika dahulu berlaku permusuhan antara ‘Nek Bajo’ dengan lanun-lanun di kampung tersebut.

“Bagaimanapun Nek Bajo telah ditewaskan dan lanun-lanun dilawannya memenggal kepala beliau,” katanya.

Justeru beliau berharap penerbitan buku itu akan dijadikan bahan rujukan kepada pelajar dan orang ramai yang ingin mengetahui mengenai sejarah dan asal usul kampung di Lundu.

Advertisement