Anda di sini

Mamagun bantah Himpunan Rakyat NGO pada 31 Mei ini

Advertisement

TENOM: Pertubuhan Mamagun Sabah (PMS), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah Himpunan Rakyat yang dikatakan akan diadakan di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada 31 Mei ini.

“Saya bimbang terhadap kehadiran Himpunan Rakyat yang dianjurkan oleh gabungan NGO bagi membantah penarikan MyKad di Sabah jika diteruskan kemungkinan mengeruhkan lagi suasana ketenteraman di negeri ini,” kata Presiden PMS Rudy Sulaiman Mairi.

Katanya, poster yang mengiklankan perhimpunan itu bakal diadakan pada 31 Mei bersamaan dengan perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di Hongkod Penampang.

Rudy menyifatkan tindakan gabungan NGO yang melakukan bantahan seolah-olah mereka tidak menghormati perayaan terbesar masyarakat orang asal negeri ini.

“Perhimpunan itu akan dianjurkan beberapa gabungan NGO telah tersebar luas di laman sosial Facebook sebelum ini, namun banyak pihak mempertikai bagaimana ia diluluskan oleh pihak berkuasa berhubung perhimpunan itu,” katanya.

Rudy berkata, Mamagun berpendirian bahawa mereka tetap memberi keyakinan sepenuhnya terhadap kewibawaan kerajaan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal RCI Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dalam menangani isu status kerakyatan tulen di negeri ini.

“Kepada mereka yang berhajat mengadakan perhimpunan, tidak perlu bimbang atau menggelabah sekiranya dokumen diri atau MyKad mereka tulen, maka statusnya akan tetap tidak berubah,” katanya.

Rudy berkata, Mamagun tidak ragu-ragu menyatakan sokongan padu terhadap kenyataan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Dr Maximus J Ongkili di Kota Marudu 12 April lalu.

Dalam kenyataannya, Dr Maximus mengulangi gesaannya kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mempercepatkan penarikan balik kad pengenalan yang telah dikeluarkan secara haram kepada rakyat asing dan melaksanakan pengeluaran dokumen dan kad pengenalan baharu kepada rakyat tulen Sabah.

 

Advertisement