Anda di sini

Kebakaran besar di Kampung Landung Ayang

Advertisement

 Api marak memusnahkan rumah-rumah di Kampung Landung Ayang menyebabkan 1,000 penduduk hilang tempat tinggal.

KEBAKARAN BESAR: Api marak memusnahkan rumah-rumah di Kampung Landung Ayang menyebabkan 1,000 penduduk hilang tempat tinggal.

KUDAT: Dianggarkan lebih 1,000 penduduk hilang tempat tinggal selepas kira-kira 250 rumah jenis setinggan di perkampungan atas air Kampung Landung Ayang, di sini musnah terbakar.

Kejadian berkenaan dilaporkan mula berlaku sekitar jam 5 pagi kelmarin dan bomba tiba di lokasi kejadian jam 5.06 pagi.

Operasi pemadaman berlarutan beberapa jam sebelum ditamatkan pada jam 10.57 pagi.

Ketua Polis Daerah Kudat Superintendan Dawi Ossen berkata, siasatan awal mendapati kebakaran terbabit bermula dari sebuah rumah di kampung berkenaan.

Menurutnya, rumah-rumah yang hangus terbakar diperbuat dari papan, konkrit, atap zink serta mempunyai bekalan elektrik bermeter.

Pihaknya mengesahkan tiada kecededaraan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan keadaan cuaca semasa kejadian berangin.

Sementara itu, Menteri Tugas-Tugas Khas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor Datuk Teo Chee Kang berkesempatan melawat lokasi kejadian pada jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Menurutnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara mengetuai operasi pendaftaran mangsa dan dibantu oleh Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjong Kapor dan Jabatan Kebajikan Negeri.

“Setakat jam 3.30 petang, seramai 222 ketua isi rumah didaftarkan dan jumlah mangsa yang hilang tempat tinggal seramai 1,316 orang.

“Kaunter pendaftaran masih dibuka di Masjid Kampung Landung Ayang dan dijangka lebih ramai yang akan tampil mendaftar,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata, dapur sementara turut dibuka di kawasan masjid berkenaan bagi menyediakan makanan kepada mangsa kebakaran.

Pihaknya turut menyumbangkan sebanyak 300 kotak air minuman dan Umno Bahagian Kudat juga menyumbangkan bantuan makanan dan menempatkan Squad Sayang untuk bantuan dari Jabatan Kebajikan.

“Melihat dari jumlah mangsa yang ramai, dewan masyarakat agak kecil untuk menempatkan mereka.

“Justeru, kita membuka satu kawasan di kampung ini dan mengatur pemasangan khemah untuk perlindungan sementara.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara juga akan menyediakan ruang kubikal untuk keluarga mangsa,” jelasnya.

Pada masa sama katanya, terdapat mangsa yang menumpang tinggal di rumah sanak saudara untuk sementara waktu.

Teo berkata, melihat keadaan mangsa-mangsa yang kehilangan harta dan tempat tinggal amatlah tragik lebih-lebih lagi bulan Ramadan tidak lama lagi akan tiba.

Beliau turut berpuas hati dengan inisiatif yang dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang menghubunginya dan mengatur segala keperluan mangsa.

“Kita amat memerlukan lebih banyak bantuan dan saya menggesa badan-badan korporat yang besar agar menghulurkan bantuan dalam apa juga bentuk sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,” katanya.

 

 

Advertisement