Anda di sini

Kastam rampas dadah bernilai setengah juta

Advertisement
 Janathan (dua kiri) menunjukkan bungkusan plastik mengandungi dadah dengan anggaran nilai setengah juta.

DIRAMPAS: Janathan (dua kiri) menunjukkan bungkusan plastik mengandungi dadah dengan anggaran nilai setengah juta.

KOTA KINABALU: Tindakan seorang lelaki membungkus dadah seberat kira-kira satu kilogram di dalam plastik minuman teh akhirnya membawa padah selepas berjaya dikesan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Suspek yang juga warga tempatan berumur 20-an itu ditangkap kira-kira jam 2.50 petang pada 19 Mei lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

Pengarah JKDM Sabah Datuk Janathan Kandok berkata, nilai pasaran dadah terbabit dianggarkan boleh mencecah harga setengah juta ringgit.

Menurutnya, suspek yang berasal dari Semenanjung itu datang secara bersendirian melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL).

“Semasa pegawai kastam mengimbas beg suspek, terdapat sebungkus plastik yang mencurigakan di dalam beg yang dibawa suspek.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan berkenaan adalah dadah jenis Methamphetamin dan suspek memasukkan balutan plastik dadah itu ke dalam peket plastik minuman teh,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Beliau berkata, tangkapan terbabit adalah yang pertama tahun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu mengedar dadah berbahaya dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Janathan berkata, sejak 2012 hingga Mei tahun ini, sebanyak 18 kes rampasan dadah dibuat termasuklah 12 kes di Kota Kinabalu, empat kes di Sandakan dan dua kes di Tawau.

Kesemua tangkapan terbabit jelasnya, melibatkan kawasan lapangan terbang di tiga daerah berkenaan.

“Nilai rampasan untuk semua kes kira-kira RM14 juta dan seramai 21 orang berjaya ditangkap iaitu 15 lelaki dan enam wanita.

“Daripada jumlah mereka yang ditangkap, 12 orang daripadanya adalah warga tempatan dan sembilan lagi warga asing.

“Setakat ini, sembilan orang sudah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati melibatkan warga tempatan dan asing,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut merayu agar orang ramai memahami prosedur yang dijalankan JKDM di lapangan terbang.

Menurutnya, ada segelintir penumpang yang menunjukkan rasa kurang senang dengan kehadiran anjing pengesan terutamanya semasa pemeriksaan di pintu masuk lapangan terbang.

“Pemeriksaan yang dijalankan itu adalah salah satu prosedur untuk mengesan penyeludupan dadah.

“Sehubungan itu, saya merayu agar orang ramai memahami prosedur yang dijalankan kerana ia juga satu tindakan dalam membanteras jenayah dadah,” katanya.

 

 

Advertisement