Anda di sini

Majikan didakwa cedera pekerja guna penyembur racun serangga

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang ejen hartanah didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan mencederakan dua pekerja wanitanya menggunakan penyembur racun serangga dan alat renjatan elektrik, dua minggu lEPAS.

Tan Hing Lian, 34, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor.

Tan didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera dengan senjata iaitu penyembur racun serangga dan alat renjatan elektrik ke atas Lee Seat Yee, 28, dan Lim Mei Mei, 34, di Blok B-7-22A, Fortune Avenue, Jalan Metro Perdana, Sentul, di sini pada jam 6.30 petang, 8 Mei lepas.

Bagi kedua-dua pertuduhan lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit menawarkan jaminan RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam Darshan Singh Hullan yang mewakili Tan memohon jaminan RM2,000.

Majistret Nur’Aminahtul Mardiah membenarkan Tan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 28 Jun untuk sebutan semula kes.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen, Tan bersama teman wanitanya, Tan Joo Lee, 29, yang bekerja sendiri, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merompak sehingga mencederakan seorang lagi pekerja wanita, dua minggu lepas.

Mereka didakwa bersama-sama telah melakukan rompak dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Tricia Tan Yee Yee, 24, dengan memindahkan wang dari akaun mangsa secara dalam talian tanpa kerelaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama, pada 4.30 pagi, 8 Mei lepas mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan kes itu adalah serius dan memohon syarat tambahan dikenakan kerana bimbang kedua-dua tertuduh akan mengganggu mangsa yang bekerja dengan pasangan itu sejak sebulan lalu.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mendekati atau mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 28 Jun untuk sebutan semula kes. — Bernama

 

Advertisement