Anda di sini

Sekolah pondok digesa daftar dengan Majlis Agama Islam Negeri

Advertisement

KUALA NERUS: Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia menggesa semua sekolah pondok di negara ini supaya mendaftar dengan majlis agama Islam di negeri masing-masing bagi memudahkan urusan penyaluran dana.

Pengerusi Eksekutifnya Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata kegagalan sekolah pondok untuk mendaftar menyebabkan penyaluran dana serta pemantauan pelajar dan guru juga tidak dapat dilakukan.

“Kita tengok sekolah pondok tumbuh bagaikan cendawan dan kira-kira 60 peratus tidak berdaftar…bila tidak berdaftar, kami tak boleh nak salurkan bantuan sebab hanya pondok yang berdaftar dengan majlis agama Islam negeri sahaja layak menerima peruntukan RM25 juta seperti yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Bajet 2015.

“Pembahagian peruntukan dana diuruskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak yayasan hanya menyediakan data secara terperinci mengenai masalah dan keperluan sekolah pondok supaya dana dapat disalurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Ijtimak Pondok Malaysia kali ke-2 yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu  Ahmad Razif Abdul Rahman.

Mashitah berkata sekolah pondok berkenaan bukan tidak mahu mendaftar tetapi mereka mempunyai pelbagai kekangan yang belum dapat diselesaikan seperti tanah wakaf dan melalui program ijtimak yang diadakan selama dua hari ini, segala masalah berbangkit akan dibincangkan.

“Pihak yayasan juga sedang memohon dengan perdana menteri untuk membuat kajian mengenai sekolah pondok di tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Perak yang mempunyai banyak sekolah pondok dan kami juga sedang melakukan kajian di negeri Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Mashitah berkata pihaknya juga bercadang untuk menubuhkan dana kecemasan yang dikenali ‘Tabung Kasih PM’ untuk bantuan kecemasan sekolah pondok supaya bantuan segera dapat disalurkan sekiranya berlaku kebakaran dan bencana alam di sekolah itu.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata untuk negeri Terengganu, pihaknya berharap pondok moden yang sedang dilaksanakan di negeri tersebut di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan diperluas di seluruh negeri. — Bernama

Advertisement