Anda di sini

Rujuk JHEAINS jika bertembung ajaran yang berlainan pendapat

Advertisement

PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin menasihatkan umat Islam agar merujuk dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) jika bertembung dengan ajaran Islam yang berlainan pendapat atau lain daripada kebiasaan.

Beliau berkata, ini penting untuk mendapatkan pengesahan sama ada ianya ajaran Islam yang dianuti di negara ini ataupun sebaliknya.

Katanya, dalam usaha mencari ilmu khususnya ilmu agama sebagai panduan kehidupan dunia dan akhirat, umat Islam perlu sentiasa berhati-hati dalam melihat dan mendengar ceramah-ceramah agama Islam yang mungkin berlainan pandangan ataupun baharu bagi mereka.

Menurutnya, penularan ajaran Islam yang bertentangan dengan ajaran Ahlussunnah Waljamaah yang diamalkan di negara ini kelihatan sedang menjadi-jadi.

“Kemunculan Ustaz-ustaz Youtube sebagai pejuang siber ataupun Internet ada antaranya mengelirukan umat Islam, khususnya di Malaysia.

“Oleh itu, ingin saya nasihatkan sekiranya bertembung dengan ajaran yang berlainan pendapat ataupun lain daripada kebiasaan, umat Islam bolehlah bertanya kepada kakitangan JHEAINS untuk mendapatkan pengesahan sama ada ia ajaran Islam yang kita anuti di negara ini ataupun bukan,” tegasnya.

Yahya berkata demikian ketika merasmikan bangunan bilik menunggu kenamaan di Masjid As Sobirin Kampung Sipanggil, di sini pada Jumaat.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri itu juga menekankan aspek perpaduan dan hormat-menghormati yang perlu sentiasa dijaga di negara ini tanpa mengira agama dan bangsa.

Menurutnya, sekiranya timbul perkara ataupun berita yang kurang baik, lebih-lebih lagi yang dikongsikan melalui media massa dan juga aplikasi telefon pintar, janganlah cepat melenting sambil menyalahkan yang lain.

“Kita perlu ada kebijaksanaan untuk mencari dan menilai setiap berita ataupun cerita yang disampaikan kepada kita sebelum membuat sebarang kesimpulan mahupun tindakan.

“Amalan-amalan yang membawa kepada mengekalkan perpaduan perlu dikongsikan kepada generasi muda seperti kunjung-mengunjung mengeratkan silaturahim, gotong-royong, bersukan dan sebagainya,” tambahnya.

Yahya juga menyeru agar ahli jawatankuasa di semua masjid termasuk As Sobirin berusaha meningkatkan lagi penglibatan pemuda-pemudi agar dapat bersama mengimarahkan lagi masjid di kawasan masing-masing.

Katanya, ini boleh dimulakan dengan para jemaah membawa anak-anak mereka ke masjid untuk sama-sama menunaikan solat.  Anak-anak inilah nanti yang boleh menjadi pemangkin untuk mengajak lebih ramai lagi golongan muda untuk datang ke masjid.

Beliau berkata, muda-mudi ini juga boleh menyumbangkan tenaga dengan lebih baik sekiranya diadakan aktiviti-aktiviti seperti gotong-royong, kenduri sekampung dan lain-lain lagi.

Yahya turut memuji usaha AJK Masjid As Sobirin yang telah berjaya membawa kemajuan kepada masjid itu dengan terbinanya bangunan bilik menunggu kenamaan bernilai RM150 ribu menerusi peruntukan daripada JHEAINS.

Katanya, selain daripada menjadi tempat berehat dan persinggahan para tetamu, bangunan bilik menunggu kenamaan juga boleh digunakan sebagai bilik untuk mempelajari bacaan al- Quran ataupun kitab-kitab ilmu Islam yang lain.

“Ustaz yang mengajar akan lebih fokus dalam pengajarannya manakala kepada yang belajar juga akan lebih memberikan tumpuan kerana kurangnya gangguan daripada aktiviti-aktiviti semasa di masjid,” tambahnya.

Advertisement