Anda di sini

Perubatan biologi rawat ‘penyakit peradaban’

Advertisement

Sistem diagnostik dan terapeutik yang memberi fokus terhadap mekanisme kawal selia tubuh itu sendiri

KUALA LUMPUR: Sebelum ini, penyakit seperti kencing manis, kanser dan jantung koronari biasanya dirawat melalui penggunaan kaedah konvensional, tetapi hasil daripada kemajuan teknologi, penyakit seperti itu kini boleh juga dirawat menggunakan ‘perubatan biologi’ sebagai kaedah rawatan alternatif.

Pakar perubatan Switzerland terkenal di dunia, Dr Thomas Rau berkata perubatan biologi merupakan suatu sistem diagnostik dan terapeutik yang memberi fokus terhadap mekanisme kawal selia tubuh itu sendiri.

Penyakit timbul apabila mekanisme tubuh diganggu, tetapi apabila faktor yang menyebabkan terjadinya sesuatu penyakit itu dapat dihapuskan dan fungsi kawal selia sewajarnya dapat dipulihkan, maka tubuh akan kembali sihat dan kesihatan dapat dipelihara.

“Penyakit seperti itu, yang dikenali sebagai ‘penyakit peradaban’, berkembang dengan amat ketara dalam tempoh 20 hingga 30 tahun lepas, tetapi penyakit seperti koronari jantung, boleh dirawat 100 peratus menggunakan perubatan biologi.

“Apabila pesakit datang untuk mendapatkan rawatan, kami lakukan tiga langkah asas — penyaktoksikan, membina sistem imun dan membina kembali organ,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Dalam kunjungan kali pertama beliau ke Malaysia ini, Dr Rau dijangka berkongsi pengetahuan dan pengalamannya dalam bidang perubatan biologi pada dua acara, yang bermula semalam di Aloft Kl Sentral di sini.

Peserta akan berpeluang mengetahui tentang asal-usul kebanyakan penyakit yang wujud hari ini dan cara mencegahnya, manakala profesional perubatan pula akan berkesempatan menambah pengetahuan tentang bagaimana perubatan biologi boleh memberi manfaat kepada pesakit mereka, terutama bagi kes paling rumit.

Ditanya tentang peratusan seseorang itu boleh diubati dengan menggunakan perubatan biologi, beliau berkata hasilnya bergantung pada jenis penyakit.

“Sekiranya seseorang itu didapati menghidap kanser peringkat satu atau dua, hasilnya adalah baik…tapi, sekiranya seseorang itu datang untuk mendapatkan rawatan bagi peringkat lebih teruk, kami boleh membantu dengan menambah baik prognosis dan bagi penyakit seperti tekanan darah tinggi, jantung koronari atau kencing manis, kami boleh katakan 80 peratus daripada pesakit kami sudah sembuh daripadanya,” kata beliau.

Bagaimanapun, Dr Rau, yang juga pengarah perubatan Paracelsus Clinic berpejabat di Switzerland, berkata untuk mendapatkan kesembuhan cepat, pesakit perlu mengikuti proses yang dianjurkan.

Katanya, pesakit perlu berupaya untuk menjadi serasi dengan ubat-ubatan, makanan tambahan dan pemakanan khusus yang diberi bagi membantu mengubah keadaan metabolik mereka untuk membolehkan sel organ dibangunkan semula kemudiannya.

Proses ini akan melibatkan pemeriksaan flora usus bagi mengetahui mikroorganisme yang hidup di dalam usus seseorang pesakit, diikuti membuang bakteria jahat dan pada waktu sama, memulihkan bakteria baik.

“Proses ini akan diteruskan dengan beberapa rawatan lagi melalui penggunaan peralatan kami seperti ‘hyperthermia’ serta rawatan pengion dan apabila sistem imun sudah pulih, kami akan biarkan tubuh pesakit bergantung pada daya tahan semula jadinya bagi melawan jangkitan,” kata beliau.

Menyentuh tentang kerangka minda orang ramai mengenai perubatan alternatif, Dr Rau berkata ia memerlukan pendidikan jangka panjang dan kesedaran peringkat tinggi memandangkan pendekatan konvensional masih bersifat mekanistik.

Katanya, orang ramai perlu bersedia mencari kaedah alternatif bagi membantu merawat penyakit kerana ia mungkin merupakan antara cara paling berkesan untuk menyelamatkan nyawa. — Bernama

Advertisement