Anda di sini

K’jaan negeri mahu kuasa penuh

Advertisement
 Jake (tiga kanan) menyerahkan bantuan kepada Ridwan (tiga kiri).

UNTUK SEKOLAH: Jake (tiga kanan) menyerahkan bantuan kepada Ridwan (tiga kiri).

Pembangunan pendidikan lebih mudah dilakukan dengan segera

KENINGAU: Kerajaan persekutuan diminta agar memberikan kuasa penuh kepada kerajaan negeri untuk mengurus pembangunan pendidikan terutama infrastruktur bangunan-bangunan sekolah dan rumah guru di negeri ini.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Sabah, Datuk Jake Jikulin Nointin berkata, ini bagi memudahkan lagi segala pengurusan berkaitan dengan kekurangan infrastruktur sekolah dapat diambil tindakan segera.

“Saya mencadangkan ini agar semua sekolah yang terdapat di luar bandar di pedalaman khususnya di daerah ini yang masih dalam serba kekurangan dapat dibantu dalam kadar yang segera,” katanya semasa menyerahkan sumbangan daripada Jetama Sdn Bhd dan Elton Chang di sini pada Jumaat.

Beliau memberitahu, sebelum ini memang terdapat pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah melakukan pemantauan berhubung dengan keperluan-keperluan sekolah-sekolah di luar bandar.

Namun demikian, laporan yang dihantar mengambil masa yang lama dan kadangkala langsung tidak ada dan ini juga menyebabkan sekolah berkenaan terus menunggu sehinggalah menteri diganti dengan pemimpin lain.

“Dan bila ini berlaku, dasar juga telah berubah dan laporan tinggal laporan tanpa apa-apa tindakan yang diambil.

“Contoh terbaik beberapa buah sekolah di kawasan luar bandar di daerah ini masih lagi dalam keadaan yang daif dan tidak seiring dengan kemajuan pesat yang terdapat dalam bandar,” katanya.

Jake yang juga Ketua PBS Liawan berkata, terdapat juga sekolah yang mendapat sekolah baharu murid tidak ramai manakala sekolah yang masih keadaan daif mempunyai pelajar yang ramai.

Dalam hubungan ini, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri dapat diberikan kuasa penuh untuk mengurus pembangunan pendidikan di negeri ini dalam usaha mengimbangkan kemajuan pendidikan antara bandar dan luar bandar.

Katanya, ini hanya tertumpu sahaja kepada pembangunan sekolah dan rumah guru yang diurus sepenuhnya oleh kerajaan negeri sementera yang lain-lain masih kepada kerajaan persekutuan.

“Kita mahu segala permohonan sama ada oleh pihak sekolah atau laporan hasil daripada pemantauan dapat diambil tindakan segera tanpa menunggu lebih lama lagi seperti yang berlaku pada masa ini,” katanya.

Jake yang juga Pengurus Besar Jetama Sdn Bhd memberitahu bahawa bantuan sumbangan syarikat itu dan Elton Chang adalah untuk membina sebuah dewan terbuka SK Buluh Silou di sini.

Katanya, dewan ini diharapkan dapat disiapkan sebelum hujung tahun ini untuk keselesaan kepada sekolah ini ketika membuat sesuatu program.

“Sekolah ini terpaksa menggunakan bawah kolong bangunan sekolah ketika mengadakan mesyuarat atau aktiviti-aktiviti sekolah yang melibatkan murid-murid dan ibu bapa.

“Saya berharap dengan siapnya bangunan ini, ia benar-benar dapat memberikan keselesaan kepada warga sekolah ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Jake juga meminta agar badan-badan korporat tampil untuk memberikan bantuan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan di daerah ini, termasuk SK Buluh Silou.

Jake telah menyerahkan bantuan itu kepada guru besar sekolah itu,Ridwan @ Juanis Dorulou di kediamannya.

Advertisement