Anda di sini

JAKIM serah kepada JAIN dan pihak berkuasa siasat pasangan mengaku murtad

Advertisement
 Tuanku Haminah menyampaikan sumbangan kepada ibu-ibu tungal pada majlis Karnival Muslimah dan Pengurniaan Sumbangan Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

MENYAMPAIKAN SUMBANGAN: Tuanku Haminah menyampaikan sumbangan kepada ibu-ibu tungal pada majlis Karnival Muslimah dan Pengurniaan Sumbangan Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kes sepasang suami isteri yang didakwa mengaku murtad dan menghina Islam di Facebook perlu disiasat oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan pihak berkuasa sebelum sebarang tindakan boleh diambil  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata jabatan itu akan mencari jalan penyelesaian selain mengadakan sesi kaunseling kepada pasangan itu setelah mendapat laporan daripada JAIN dan pihak berkuasa berkenaan.

“Kita kena cari jalan yang terbaik untuk bawa (mereka) ke pangkal jalan. Sudah pasti kita akan mencari caranya. Ada banyak, saya lihat, tawaran yang diberi kepada pasangan itu untuk adakan perbincangan mengenai tindakan mereka.

“Jadi, kita harus mendekati mereka untuk mengetahui masalah…kita kena layan dengan baik, kita tidak tahu apa punca dan bagaimana pasangan itu terguris,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Karnival Muslimah dan Pengurniaan Sumbangan Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini.

Othman diminta mengulas laporan media pada Khamis bahawa Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah membuat laporan polis bagi menyiasatkenyataan pasangan itu, Sharifah Farlearton dan suaminya, yang didakwa murtad dan menghina Islam di Facebook.

Pasangan yang mempunyai lima anak itu dipercayai menetap di Melbourne, Australia dan mendakwa meninggalkan agama Islam hampir setahun lepas.

Dalam temu bual bersama sebuah akhbar tempatan (Berita Harian), Sharifah

Farlearton mendakwa berubah hati terhadap agama Islam kerana tidak berpuas hati dan kecewa terhadap beberapa perkara.

Dalam pada itu, Othman menjelaskan sebarang permohonan untuk menukar status agama Islam kepada agama lain hanya boleh dibuat dan diluluskan oleh Mahkamah Syariah, di samping perlu melalui proses tertentu.

“Dalam undang-undang, perkara itu (menukar agama) sah jika diluluskan Mahkamah Syariah namun setakat ini tidak ada satu pun yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah yang telah membenarkan seseorang itu murtad,” katanya.

Menurutnya berdasarkan kenyataan pasangan suami isteri itu, beliau percaya tindakan mereka adalah berdasarkan kekecewaan terhadap individu dan bukannya agama. — Bernama

Advertisement