Anda di sini

Enam lelaki dipenjara dan denda akibat pecah rumah, curi sarang burung

Advertisement
 Semua tertuduh dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret.

DIDAPATI BERSALAH: Semua tertuduh dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret.

KOTA KINABALU: Enam lelaki antaranya dua warga asing dikenakan penjara 11 bulan dan denda RM3,000, oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin, selepas mengaku bersalah pecah rumah dan mencuri sarang burung.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Johari Mohd Sulaiman, 50, Basri Keto Ismael, 32, Lennon@Raynold Mahil, 34, Childdanndo Novet, 39, Junaidi Jinap, 42, dan Ryzandsyam Sadarin, 27.

Mereka secara bersama, pada 1 Mei tahun ini jam 10.47 pagi di Lorong Tropicana 1, Taman Tropicana, Jalan Penampang Bypass, melakukan pecah rumah dan mencuri sarang burung bernilai RM300,000, milik seorang lelaki.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan penjara maksimum lima tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Sekiranya gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan hukuman penjara dilanjutkan kepada dua bulan.

Dalam mahkamah berasingan, Majistret Cindy Mc Juce Balitus mengenakan denda sebanyak RM7,500 atau penjara 12 bulan, terhadap semua tertuduh selepas mengaku bersalah melupuskan sarang burung berkenaan.

Mereka yang didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, melakukan kesalahan itu pada hari dan di tempat sama.

Hukuman yang diperuntukkan, boleh dipenjara minimum enam bulan dan maksimum tujuh tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa dalam rayuan, semua tertuduh memohon hukuman mereka diringankan kerana masing-masing mempunyai keluarga dan tanggungan.

Mengikut fakta kes, pada hari sama pengadu menyedari sarang burung milik syarikat sebanyak 200 kilogram yang sedia dibungkus dicuri.

Setelah membuat semakan rakaman video litar tertutup, pengadu melihat empat individu masuk ke dalam rumah dan seorang menunggu di dalam kenderaan.

Siasatan awal di lokasi, tempat kejadian adalah sebuah rumah yang dijadikan tempat pemprosesan sarang burung serta dijadikan stor.

Pihak forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen Sabah dihantar untuk siasatan lanjut dan tiga kesan cap jari ditimbulkan pada permukaan gril pintu belakang.

Barang kes yang turut dijumpai seperti mangga kunci besi, kuku kambing dan sebungkus barang kes mengandungi satu beg plastik.

Bertindak atas maklumat, pihak polis menangkap semua tertuduh dan membuat rampasan kerana disyaki terlibat dalam kes terbabit.

Ketika disoal siasat, semua tertuduh juga mengaku menjual sarang burung berkenaan kepada tiga lelaki.

Kedua-dua pendakwaan itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Insp Isfandiar Dr Jasdi dan Insp Lim Swee Beng.

Mahkamah juga memerintahkan Mohammad Johari dan Basri Keto dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

 

Advertisement